|
Faizal Tahir cerewet dalam Mentor 6
Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar FAUZI BAHARUDIN
Dari kiri: Ella, Ferhad, Fauziah Ahmad Daud, Ramlah Ram, Faizal Tahir dan Adam adalah barisan juri yang bakal menerajui Mentor musim keenam.
BAGI Faizal Tahir yang popular menerusi lagu berjudul Karma, bukan mudah baginya untuk memilih protege yang benar-benar memuaskan hatinya dalam pertandingan nyanyian Mentor musim keenam (Mentor 6).
Malah, jika dilihat sendiri daripada persembahan penuh bertenaga daripada ‘Superman Malaysia’ ini, ternyata dia mahukan protege yang mampu melakukan lebih daripada apa yang telah dilakukannya selama ini.
Bukan terlalu cerewet, sebaliknya Faizal mengakui dia mahukan seorang protege yang benar-benar menyinar dan memberi kelainan sebagai penyanyi dalam persada seni suara tanah air pada masa akan datang.
Pada masa sama, bekas finalis pertandingan nyanyian One In A Millions itu juga risau jika dia tidak akan berjumpa dengan protegenya nanti biarpun pertandingan itu akan menemui para penonton di saluran televisyen swasta itu tidak lama lagi.
“Biasanya, kalau saya membuat kesilapan dalam sesuatu persembahan, saya akan jadi sangat tertekan. Inikan pula jika saya perlu mencari seseorang yang perlu mencapai kriteria-kriteria tersendiri mengikut apa yang saya inginkan.
“Kadang-kala risau juga.Jika difikirkan balik, manalah tahu nanti, saya tidak akan berjumpa dengan protege yang saya mahukan itu,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Mentor 6 di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Selain itu, bagi Faizal, jika boleh, dia tidak mahu bakat yang dilahirkan melalui pertandingan itu nanti hanya menyinar ketika berlangsungnya program itu sahaja.
“Apa yang saya maksudkan di sini ialah, protege itu nanti biarlah dia mampu untuk pergi jauh dalam bidang yang dipilihnya ini.
“Saya mahu lahirkan suatu bintang yang bukan sahaja menyinar di dalam industri seni tanah air semata-mata, tetapi juga sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Bagi saya, jika sekali sudah bertapak dalam industri ini, maka tidak salah sekiranya dia terus memperjuangkan apa yang dibawakannya itu,” ujarnya.
Belum Sedia
Sambil berterus terang dengan mengakui dirinya masih belum bersedia untuk menjadi mentor pada musim tersebut, Faizal bagaikan sedikit terhimpit dengan keadaan yang menimpanya ketika ini.
Jelas penyanyi yang meminati kumpulan rock Barat, Queens ini, dia bagaimanapun berasa terpanggil untuk menyertai pertandingan itu tetapi sehingga kini masih memikirkan sama ada akan menjadi mentor dalam rancangan itu ataupun tidak.
“Saya sebenarnya belum memberikan kata putus untuk menjadi mentor, malah sehingga sehari sebelum sidang akhbar ini diadakan pun. saya belum memberi sebarang jawapan.
“Saya masih ragu-ragu untuk menjayakan program ini. Jujurnya Mentor semestinya memerlukan saya memberikan komitmen yang tinggi tetapi dalam masa yang sama, saya juga harus mengimbangi masa bersama keluarga.
“Malah saya juga pernah memberitahu pihak TV3 agar bersedia dengan pengganti sekiranya saya tidak dapat menyertai Mentor musim ini. Apabila sudah diumumkan sebagai mentor, Insya-Allah saya akan usahakan yang terbaik,” jelasnya yang baru sahaja selesai menghadiri perbincangan Anugerah Juara Lagu (AJL) pada hari yang sama.
Selain Faizal Tahir, Fauziah Ahmad Daud, Ramlah Ram, Ella, Ferhad, dan juga Adam bakal berentap sebagai mentor bersama protege masing-masing bagi merebut gelaran juara pada musim ini.
Uji bakat akan bermula di Sabah dan Sarawak iaitu pada 13 Januari depan di Hotel Promenade, Tawau, dan 15 Januari ini di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, 20 Januari (Hotel Imperial, Miri) serta 22 Januari (Hotel Merdeka Palace , Kuching).
Manakala pada bulan Februari pula, uji bakat bersama setiap mentor akan diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya melibatkan Fauziah Ahmad Daud (4 Februari), Faizal Tahir (5 Februari), Ramlah Ram (11 Februari), Ferhad (12 Februari), Ella (18 Februari) dan Adam AF (19 Februari). |
|