http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mahukongsikaryabagus/Article/artikelMA
Mahu kongsi karya bagus
MENGANGKAT karya novel popular Dewi 'Dee' Lestari juga bekas isteri penyanyi popular Marcell, filem Perahu Kertas arahan Hanung Bramantyo, boleh dianggap antara terbaik pernah dihasilkan di Indonesia sepanjang 2012.
Buktinya sewaktu ditayangkan pada Ogos lalu, ia ditonton hampir 600,000 orang dan sekali gus menjadikan ia filem ketiga tertinggi membuat kutipan pecah panggung sepanjang tahun ini.
Sebagai penulis novel, Dewi punya ramai pengikut dan antara karya dihasilkan terjual lebih 1 juta naskah. Apabila karyanya Perahu Kertas diangkat ke filem oleh Hanung, pastinya ia mampu menarik perhatian ramai.
Apatah lagi, Hanung pemenang anugerah Pengarah Terbaik di Majlis Anugerah Citra pernah meledakkan industri filem seberang dengan karya besar seperti Brownies(2004), Get Married (2007) dan Ayat-Ayat Cinta (2008).
Gandingan nama besar di Indonesia, Dewi selaku penulis dan Hanung pengarah dalam menghasilkan Perahu Kertas, bagai satu petanda yang menjanjikan kejayaan kepada filem dihasilkan Mizan Productions Starvision & Dapur Film itu.
Kejayaan besar diraih filem itu turut menarik perhatian syarikat pengedaran filem Lindung Seni Sdn Bhd (LSSB) untuk mengedarkan Perahu Kertas di sini.
Menampilkan pelakon muda berbakat seperti Maudy Ayunda, Adipati Dolken , RezaRahadian, Elyzia Mulachela dan Kimberly Ryder, Perahu Kertas akan mula ditayangkan pada 29 November ini.
Tentunya usaha Lindung Seni ini mempunyai risiko tinggi kerana sambutan terhadap filem Indonesia di sini jarang yang mendapat sambutan walaupun bagi karya besar dan popular. Contohnya, Ada Apa Dengan Cinta gandingan Nicolas Saputra dan Dian Sastrowardoyo yang mencatat fenomena di Indonesia dan Ayat-Ayat Cinta yang juga mencatat sejarah sebagai filem Islamik popular dan mendapat publisiti besar-besaran.
Mungkin kebanjiran sinetron Indonesia yang disiarkan hampir di semua stesen televisyen tempatan menyebabkan masyarakat Malaysia tidak berminat membayar tiket untuk menonton filem Indonesia.
Pengarah Lindung Seni, Ana Pratadaja mempunyai alasan sendiri apabila membawa Perahu Kertas untuk tayangan di pawagam di sini. Malah ini juga bukan usaha pertama kali syarikat ini kerana sebelum ini pernah membawa filem Islamik Ketika Cinta Bertasbih 1 dan 2 untuk tayangan amal di KLCC.
Ana menegaskan, usaha mengedarkan filem itu bukan mahu mengaut keuntungan semata-mata sebaliknya lebih kepada tertarik dengan karyanya.
“Saya suka dengan Perahu Kertas dan mahu berkongsi dengan masyarakat di sini. Perahu Kertas sebuah karya yang bagus kerana menampilkan begitu banyak mesej positif.
“Saya mahu peminat filem tempatan menyaksikan sendiri kelainan yang cuba ditampilkan filem dihasilkan Hanung ini,” katanya yang pernah membawa filem Saus Kacang lakonan Ashraf Sinclair dan isterinya, Bunga Citra Lestari (BCL).
Kata Ana, Perahu Kertas sangat realistik dan sangat dekat dengan kehidupan dilalui kebanyakan anak muda zaman sekarang. Watak utama, Kugy lakonan Maudy dan Keenan (Adipati) yang memilih kerjaya yang lari daripada bidang yang mereka pelajari, mampu dijadikan contoh kepada pemuda di sini agar mencuba bidang berbeza dalam membina kerjaya.
“Persoalan diketengahkan dalam filem ini turut menarik apabila kedua-dua watak utamanya harus berperang dengan perasaan sama ada memilih cinta mahupun membinakerjaya.
“Hanung bagi saya seorang pengarah berbakat besar dan dalam menghasilkan Perahu Kertas, penonton dapat melihat betapa dia begitu teliti. Saya sedar dalam keadaan sekarang kebanyakan penerbit filem gagal mencatat keuntungan apabila filem ditayangkan bukan saja membabitkan karya tempatan tetapi juga luar.
Perahu Kertas mengisahkan pasang surut hubungan persahabatan antara Kugy danKeenan serta dua lagi rakan mereka. Kugy bercita-cita menjadi penulis karya dongeng sementara Keenan mahu menjadi pelukis terkenal tapi hasratnya itu ditentang bapanya kerana mahu dia menjadi pakar ekonomi.
Saat pertama kali berkenalan, Kugy dan Keenan sudah saling mengagumi namun kerana pelbagai perkara berlaku, menghalang mereka untuk mengungkap perasaan masing-masing.
Berhadapan dengan tentangan dari bapanya dan perasaan terpendam yang tidak dapat diungkapkan terhadap Kugy membuatkan Keenan kehilangan semangat untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelukis. Namun kehadiran Luhde lakonan Elyzia, mengubah segala-galanya.
Last edited by nafari on 5-12-2012 10:47 AM
|