Harga tiket LIMA'13 turun
[url=][/url]
Kuala Lumpur: Bayaran masuk bagi pelawat awam dewasa untuk mengunjungi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA'13) hanya RM10 berbanding RM15 pada siri sebelum ini.
Kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas pula diberi peluang masuk percuma.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penurunan harga itu adalah untuk menarik lebih ramai pengunjung, khususnya warga tempatan ke acara tahunan terbesar negara itu.
LIMA'13 akan diadakan di Langkawi pada 26 hingga 30 Mac ini.
Tarikh penganjuran itu ialah pada cuti sekolah, jadi ibu bapa boleh membawa anak-anak untuk menyaksikan acara tahunan terbesar negara itu, katanya ketika ditemui selepas menyaksikan penyerahan replika kunci kenderaan serta cek penajaan rasmi LIMA'13, semalam.
Ahmad Zahid berkata, LIMA11 sebelum ini mencatatkan kunjungan seramai lebih 300,000 pengunjung dari seluruh dunia.
Kita mencatatkan jumlah kutipan tiket sebanyak RM13 juta daripada LIMA yang lalu dan mengharapkan sambutan lebih baik daripada sebelumnya untuk LIMA'13, katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menyifatkan usaha Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melangsaikan hutang ceti haram atau along dalam kalangan anggotanya adalah satu tindakan murni.
Duit yang digunakan untuk melangsaikan hutang anggota itu adalah sumbangan yang dikumpul daripda anggota sendiri dan bukan dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan atau TLDM, katanya.
Beliau turut menasihatkan anggota tentera supaya berbelanja mengikut kemampuan supaya dapat mengelakkan berhutang.
|