Eksplorasi gua batu kapur berusia 150 juta tahunOleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
[email protected]
Pemandangan keindahan di dalam Gua Pagar.
Kompleks Gua Ikan menghimpunkan Gua Ikan, Gua Pagar dan Gua Keris yang terletak di Dabong, Kuala Krai, Kelantan. Kompleks gua ini tidak pernah sepi menerima kunjungan manusia yang berminat menerokai keunikan khazanah alam yang menyimpan 1,001 cerita terutama pada cuti hujung minggu.
Tujuannya bukanlah untuk berehat sebaliknya apa yang diinginkan kebanyakan pengunjung adalah untuk memerah keringat dengan melakukan aktiviti lasak sebagai cara menenangkan fikiran dan melepaskan tekanan.
Baru-baru ini, penulis bersama kumpulan pengamal media, Persatuan Seni Foto Kelantan dan Rakan FB Kelantan berkesempatan mengikuti Kembara Media dan Kumpulan Fotografi ke Kelantan Selatan 2014 anjuran Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan bagi menikmati keseronokan dan cabaran eksplorasi gua batu kapur yang berusia kira-kira 150 juta tahun.
Bagaimanapun, kunjungan tanpa khidmat pemandu pelancong yang mahir dan berpengalaman bagi menjelaskan mengenai keunikan Taman Rekreasi Gua Ikan membuatkan rombongan kami seramai 50 orang hanya mampu menjamu mata sahaja tanpa haluan serta 'santapan' telinga.
Celoteh Setiausaha Persatuan Pemandu Pelancong Kelantan, Suzilan Mohd. Salleh tanpa jemu sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira tiga jam menerokai Gua Pagar dan Gua Keris itu tidak terasa meletihkan sebaliknya, menguatkan lagi keinginan kami untuk terus menyusuri rintis hutan dipterokarpa di situ. Menurut Suzilan, gua batu kapur itu terbentuk daripada cengkerang hidupan laut atau kalsium karbonat yang terkumpul di perairan laut cetek serta aliran air sungai yang mengambil masa jutaan tahun. "Hasil daripada proses itu kelihatan begitu mistik dan mengagumkan serta menimbulkan pelbagai persoalan tentang kejadiannya.
"Apabila menghampiri muka gua yang dipenuhi dengan fungus itu, akan kelihatan kulit-kulit cengkerang yang amat menakjubkan biarpun hanya menggunakan penglihatan mata kasar sahaja. "Formasi batu kapur yang terbentuk pada dinding, siling dan lantai dengan pelbagai bentuk sering digunakan sebagai nama sesebuah gua.
"Gabungan stalaktit dan stalagmit yang membentuk satu tiang berbentuk keris tercacak di tanah menjadikan salah satu gua di sini digelar Gua Keris," katanya. Sewaktu melangkah kaki memasuki Gua Pagar, pandangan menjadi gelap. Penulis perlu menggunakan lampu suluh bagi menyaksikan sendiri keindahan alam yang tersembunyi di dalam gua tersebut seperti yang diuar-uarkan pemandu pelancong sejak menjejakkan kaki di kawasan kompleks berkenaan.
Namun apabila melihat garis-garis pusaran halus pada bahagian dinding yang terhasil disebabkan aliran air serta lohong pada siling gua menjadikan suasana dalam gua batu kapur tersebut sedikit menggerunkan.
Bagaimanapun, perasaan itu beransur-ansur hilang selepas penulis terlihat kewujudan fosil 'seaweed' di tengah-tengah gua yang juga membawa kepada penemuan sejenis flora istimewa, 'Vaughan's Balsam' yang dikatakan hanya terdapat di Perlis dan selatan Thailand di pintu gua berkenaan.
'Monkey head rock' yang menanti di dinding luar gua juga menambah keunikan Kompleks Gua Ikan dan tidak hairanlah jika dikatakan kawasan ini menyimpan pelbagai misteri alam serta makmal semula jadi yang unik untuk dilawati.
Semakin jauh menyusuri, kelihatan 'karst line' yang menyumbang kepada pembentukan straw iaitu peringkat awal kejadian stalaktit.
Ia terjadi hasil daripada titisan aliran air yang membawa bersama hablur garam yang kelihatan seperti kristal apabila mengenai cahaya.
Cahaya matahari yang memasuki gua yang gelap seolah-olah cahaya laser terus ke lantai gua itu terkenal dengan jolokan 'God Light' menjadikan ia lokasi terbaik untuk merakam memori di Kompleks Gua Ikan.
|