SAMBUTAN hebat yang diterima daripada masyarakat dan peminat Ustaz Kazim menjadikan program Kembara UKE bersambung ke siri kedua yang dikenali sebagai Kembara UKE 2.0.
TEPAT pukul 6.45 pagi, kapal persiaran mewah itu bergema dengan laungan azan Subuh. Dari situ, terbukti bahawa masyarakat Islam di Malaysia sedang melangkah setapak lagi dengan menjadikan kapal persiaran yang dahulunya sinonim dengan warga asing sebagai antara tumpuan pelancongan buat orang Islam di negara ini.
Jika selama ini kapal persiaran mewah selalu ditonjolkan sebagai pusat hiburan di tengah samudera, pendakwah terkenal Ustaz Kazim Elias (UKE) pula menjadikan kapal persiaran sebagai pusat menyebarkan dakwah. Ia sekali gus memecah tradisi dan membuka minda masyarakat bahawa dakwah bukan sahaja boleh dilakukan di masjid atau tempat keagamaan malah boleh dilakukan di mana-mana sahaja.
Ustaz Kazim Elias (UKE) baru-baru ini mengembara ke destinasi pelancongan terkenal dunia termasuk Langkawi, Malaysia dan Phuket Thailand menerusi jalan laut. Perjalanan itu membuka minda bahawa dakwah tidak pernah dibatasi oleh cara atau lokasi. Perkara tersebut cuba ditonjolkan dalam program Kembara UKE. Program yang diketuai oleh pendakwah terkenal, Mohd. Kazim Elias bersama 700 orang jemaah itu merentas samudera demi mencapai satu matlamat dan memperoleh ilmu.
Jelas Kazim: “Dakwah perlu ditonjolkan dengan cara baharu. Kita ingin membuktikan bahawa dakwah sebagai medium yang universal dan boleh diadakan di mana-mana. “Selalunya, minda masyarakat memikirkan bahawa kapal persiaran sinonim dengan aktiviti judi dan sebagainya. Namun, kita dapat membuktikan bahawa dakwah boleh menjadi sesuatu yang baharu jika masyarakat memahami keadaan sebenar dan konsep dakwah itu sendiri. “Program ini juga langkah awal untuk membuka mata pihak pengurusan kapal mewah agar memikirkan satu mekanisma baharu iaitu menyediakan sebuah kapal untuk umat Islam di negara ini melancong dan menepati syariah yang telah ditetapkan adalam ajaran Islam.”
SALAH satu aktiviti tazkirah bersama Ustaz Kazim dalam Kembara UKE sewaktu singgah di Phuket, Thailand.
Bertitik-tolak daripada program perintis UKE yang pertama, kini, pihak pengurusan Star Cruise dan juga pengurusan program Kembara UKE bercadang untuk mengadakan kembara tersebut untuk kali kedua yang dikenali sebagai Kembara UKE 2.0.
“Sambutan terhadap Kembara UKE yang terdahulu amat memberangsangkan, malah penyertaan daripada masyarakat di Malaysia juga tinggi. Untuk musim yang pertama, kami membuka sebanyak 700 penyertaan dan mendapati masih ramai lagi yang tidak berpeluang untuk mengikuti Kembara UKE ini.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz3DLIXMbwJ
Hakcipta terpelihara
|