Meskipun kepalanya berat akibat dibebani rambut palsu sebanyak tiga lapisan tetapi pelakon dan pelawak Jihan Muse, 31, menyatakan dia lebih yakin ketika berjalan. Menurutnya, dia terpaksa memakai rambut palsu berkenaan demi menjiwai wataknya sebagai Bik Susanti dalam filem sulung lakonannya, Rumah Pusaka Di Simpang Jalan (RPDSJ) arahan pengarah terkenal, Mamat Khalid. Dalam filem komedi seram itu, Jihan tampil dengan karakter seorang wanita Indonesia berimej rambut kembang yang dilitupi selendang. "Berat rambut itu tetapi saya begitu yakin berjalan ke sana dan ke sini. Selepas menonton filem ini, saya berpuas hati walaupun terpaksa pakai rambut berat itu. "Saya juga tiada masalah apabila pengarah mengatakan yang watak saya perlu bertutur dalam bahasa Indonesia kerana selama ni memang saya seorang penggemar sinetron. Jadi, saya sudah biasa dengar gaya bahasa Indonesia dalam drama-drama yang saya tonton. "Apabila mendapat tahu watak saya sebagai wanita Indonesia, saya seronok sebab mulanya saya bayangkan yang diri seperti Suzzana (pelakon filem popular Indonesia, Sundal Bolong)," kata Pelakon Wanita Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH2013) ini ketika ditemui pada sesi pratonton filem tersebut di KLCC, Kuala Lumpur, kelmarin. http://ow.ly/G1Hc5
|