|
PASUKAN Pulau Pinang mengakui tekanan tinggi menyaksikan mereka hanya mampu menang tipis ke atas Perlis 1-0 pada pusingan kedua Piala FA 2015 di Stadium Bandaraya, kelmarin.
Bagaimanapun gol tunggal Faiz Subri itu pada penghujung permainan sudah cukup buat mereka layak ke pusingan ketiga untuk menghadapi Negeri Sembilan Matrix pula.
Ketua jurulatihnya, Jacksen F Tiago berkata, gandingan serangan dilihat masih memerlukan masa untuk membentuk keserasian mantap walau sedar harapan tinggi kini diletakkan di bahu mereka untuk menjaringkan lebih banyak gol.
“Pulau Pinang gagal menunjukkan kemampuan sebenar pada perlawanan ini tetapi saya tetap gembira kerana kita layak ke pusingan seterusnya, pemain telah cuba yang terbaik walaupun masih banyak kelemahan yang ada.
“Banyak lagi yang perlu kami lakukan untuk perlawanan seterusnya dan semestinya kami perlu bekerja keras lagi,” katanya.
Tiago berkata, pasukannya berjaya meningkatkan corak permainan lebih baik pada separuh masa kedua berbanding pertama dan tekanan untuk menang dari semua penyokong cukup dirasakan mereka.
“Apa yang penting selepas ini adalah untuk memburu gol, jika kami dapat satu gol sahaja, saya percaya momentum pemain akan kembali meningkat,” katanya.
sumber:sinar harian
|
|