Kabel USB digunakan secara meluas sekarang oleh peranti pintar dan juga aksesori komputer seperti tetikus dan mesin pencetak. Kesemua kabel dan port yang digunakan secara meluas sekarang menggunakan format USB A. Ia hanya boleh dimasukkan dari satu arah sahaja.
Sudah menjadi kebiasaan apabila ingin menggunakan pemacu USB kita perlu mencuba beberapa kali bagi mendapatkan orientasi yang betul. USB-C yang diperkenalkan boleh dimasukkan dari mana-mana arah tanpa masalah. Ianya kini digunakan pada MacBook 2015 dan Chromebook terkini. Tetapi format baru ini belum digunakan secara meluas.
Kesukaran memasukkan kabel USB ke dalam port kini diselesaikan dengan penyesuai Ryo. Penyesuai (adapter) Ryo hanya perlu dipasang pada kepala kabel USB yang anda miliki. Kini kabel boleh dipasang dari mana-mana dengan sekali cuba sahaja setiap masa. Ini bukan sahaja mengelakkan kemarahan kerana kabel gagal dipasang tetapi memastikan port USB pada komputer anda tidak akan rosak kerana memasukkan kabel pada orientasi yang salah. Tiga penyesuai Ryo boleh anda miliki pada harga $15 . Harga yang agak mahal tetapi sekiranya anda sudah bosan dengan masalah kabel USB yang sukar dipasang (terutamanya jika ianya di belakang PC), penyesuai ini pasti anda mahukan pada kadar segera.