Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Bojan Hodak tidak mahu anak buahnya berasa selesa setelah berjaya menewaskan Kitchee SC 2-0 dalam perlawanan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Sebaliknya, jurulatih kelahiran Croatia itu mahu pemainnya konsisten menampilkan prestasi terbaik dalam baki dua perlawanan untuk muncul sebagai peneraju kumpulan berkenaan.
"Misi kami ialah menjadi pendahulu Kumpulan F dengan memenangi baki dua perlawanan kumpulan.
"...berada di kedudukan teratas amat penting kerana ia memberi kelebihan apabila memasuki peringkat seterusnya," kata Hodak kepada pemberita selepas perlawanan antara JDT menentang Kitchee SC, malam tadi.
Pada perlawanan itu, dua gol JDT dijaringkan oleh pemain import dari Argentina, Luciano Figueroa dan ketua pasukan, Safiq Rahim.
Kemenangan itu membolehkan JDT menduduki semula tangga teratas Kumpulan F dengan mengumpul sembilan mata, diikuti Kitchee SC dari Hong Kong di tempat kedua dengan tujuh mata.
Wakil dari India, East Bengal dan pasukan Balestiar Khalse dari Singapura pula, masing-masing menghuni tempat ketiga dan keempat dengan mengutip empat dan tiga mata.
Mengulas perlawanan itu, Hodak berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya kerana hampir tiada peluang diberikan kepada pasukan lawan untuk mencipta jaringan.
"Semasa 45 minit pertama kami bermain sangat baik. Tidak ada peluang untuk Kitchee menjaringkan gol.
"Bagaimanapun, pada masa hadapan kami perlu memperbaiki aspek tertentu kerana kami menyasarkan untuk mendahului kumpulan sebelum memasuki peringkat seterusnya," kata Hodak.
Mendapat jolokan sebagai Harimau Selatan, JDT akan bertemu East Bengal FC pada 28 April, sebelum menentang Balestier Khalsa pada 12 Mei, bagi melengkapkan saingan peringkat Kumpulan F.
sumber:www.stadiumastro.com
|