|
MOHD Zamri Baba merancang strategi selamat bagi mempertahankan kedudukan pendahulu CP130 menjelang pusingan tiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang akan berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, 1 dan 2 Mei ini.
Pelumba Harian Metro Y-TEQ CK Honda Racing itu mempamerkan aksi terbaiknya dalam karier kelas perdana apabila berjaya meraih kedudukan naib juara dalam dua pusingan lalu di Temerloh (pusingan satu) dan Batu Kawan (pusingan dua) dan kini sedang mendahului senarai keseluruhan dengan 40 mata.
Meskipun begitu, Zamri akur kedudukan tersebut masih tidak selamat dan perlu merancang strategi terbaik bagi mempertahankan kedudukan itu yang hanya dipisahkan dengan 17 mata berbanding empat pelumba lain yang menduduki kelompok lima pelumba teratas, Elly Idzlianizar Ilias, Ahmad Fazli Sham, Abdul Muhaimin Roslan dan Mohd Hafiz Nor Azman.
“Saya tidak ingat bila kali terakhir saya memimpin kedudukan keseluruhan seperti ini, jadi saya mahu mempertahankannya dengan merancang strategi lebih selamat di Muar nanti.
"Memang sasaran utama saya adalah untuk memenangi perlumbaan, tetapi pada masa sama saya juga perlu konsisten mengutip mata yang banyak dan tidak boleh membazirkan sebarang peluang dalam setiap perlumbaan,” katanya.
sumber:sinar harian
|
|