Oleh LUQMAN HAKIM AB RAHIM
| Tengku Abdullah
|
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahukan jawapan segera daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh berikutan kekalahan memalukan kepada Palestin dalam aksi Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Palestin di Kuala Lumpur malam kelmarin. Baginda melahirkan rasa terkejut serta hampa dengan kekalahan yang besar itu juga meletakkan tanggungjawab kelemahan itu kepada Dollah atas aksi longlai para pemain. Dalam nada tegas, baginda juga seperti membayangkan jawatan ketua jurulatih yang disandang oleh Dollah berkemungkinan bertukar tangan selain perubahan kepada keseluruhan pemain yang beraksi dalam skuad Harimau Malaya. “Jurang kekalahan ini sangat besar dan agak sukar untuk saya menerima apa jua alasan sekalipun. Perkara ini sangat menghampakan saya dan peminat bola sepak tanah air. “Harapan kita dengan pemilihan Dollah sebagai ketua jurulatih dapat membangkitkan semula prestasi skuad tapi sayangnya tidak kesampaian,” titah baginda. Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan zakat perniagaan korporat dan penganugerahan khidmat cemerlang serta khidmat setia Majlis Ugama Islam Pahang di Pekan semalam. Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin itu, skuad kendalian Dollah dibelasah oleh Palestin 6-0. Rentetan kekalahan tersebut, Tengku Abdullah telah bertitah kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin supaya mengadakan mesyuarat teknikal yang dipengerusikan oleh Datuk Mokhtar Ahmad. Baginda bertitah, jawatankuasa tersebut perlu membuat post-mortem dan mengambil satu langkah drastik termasuk mengkaji semula prestasi Dollah selepas dipilih untuk menyandang jawatan itu. “Jawatankuasa itu perlu kaji prestasi ketua jurulatih dahulu sebelum kita boleh buat rombakan lain termasuk menukar pemain. “Saya ingat dahulu ketika mula-mula memegang jawatan Presiden, beberapa nama dicadangkan untuk menjadi ketua jurulatih, namun nama Dollah juga terpilih. “Saya tidak mahu menuding jari kepada para pemain sahaja atas aksi yang tidak bermaya sebab pemilihan pemain ini bergantung kepada jurulatih,” titah baginda. Mengulas peluang Malaysia untuk layak ke pusingan seterusnya, baginda mengakui secara realistiknya peluang itu ada, namun ia sesuatu yang amat sukar untuk dicapai.
kosmo!
|