Bukan sengaja untuk kami paparkan artikel ini, tetapi dari apa yang kami perhatikan masih ramai di luar sana masih berada di posisi sama walaupun sudah lama bekerja.
Satu hal lagi, pasti ada timbul perasaan dengki dan cemburu apabila ada rakan sekerja yang lebih kemudian masuk di syarikat tempat kerja anda, ternyata dalam masa beberapa tahun sahaja dia sudah melangkaui jawatan anda.
Malah dia menjadi krew di dalam projek yang anda pimpin. Kamu mungkin rasa tercabar bukan? Jadi, tiba masanya untuk lakukan transformasi, dan kembangkan bakat karier ke tahap tertinggi. Kamu mampu lakukannya. Bagaimana?
1. Jangan jadikan wang sebagai motivasi utama
Michael Maccoby, seorang ahli Antropologi, penganalisi psikologi dan perungan pengurusan, dalam bukunya berjudul Why Work? Menyatakan “ Pada Akhirnya semua orang harus bekerja, tidak hanya untuk mendapatkan imbuhan keperluan asas tetapi juga kerana ingin menerapkan kemampuan yang mereka miliki, serta rasa dihargai untuk diri sendiri mahupun orang lain. Sekarang kamu bayangkan, rasa-rasanya berapa jumlah gaji orang atasan kamu? Berapa gaji pengurus kamu?
Dan kalau boleh kamu bayangkan lagi, sekiranya kamu berada di kedudukan mereka, bahagiakah kamu? Mungkin, tetapi apa yang perlu kamu ingat sekarang, jadilah pembangunan dalam pekerjaan itu sebagai satu motivasi. Jangan jadikan hasil atau imbuhan yang diperoleh setiap bulan itu sebagai alasan untuk kamu terus bekerja. Jika ini yang kamu utamakan, pasti satu masa nanti kamu akan menjadi bosan kerana tidak menemui kebahagian dalam bekerja.
2. Berbangga dengan pekerjaan kamu
Bangga dengan pekerjaan kamu salah salah satu perkara yang wajib dan selalu ditunjukkan. Dengan cara ini akan menyedarkan atau membuatkan orang lain sama ada di pejabat, di dalam lingkungan tempat tinggal, atau rakan-rakan dari bidang yang lain bahawa kamu bekerja bukan hanya ‘menumpang cari makan’. Sebaliknya kamu bangga dan ikhlas bekerja di tempat kerja sekarang.
3.Tentukan sasaran, lakukan perubahan sekarang!
Jika tanpa sasaran, mungkin matlamat yang ingin dicapai tidak kesampaian. Maka penting untuk kamu tentukan sasaran dan melakukan perubahan untuk mencapai sasaran itu. Sebelum itu, tanya diri kamu.
“ Dimanakah anda 3 tahun dari sekarang?”. Tempoh untuk anda capai sasaran itu bergantung kepada kamu.
Dalam tempoh masa itu, lakukan sesuatu yang dapat mengubah posisi sekarang ke posisi lebih tinggi atau baik. Teruslah bertanya “Adakah aku ingin terus berada di posisi sekarang? Adakah aku puas dengan apa yang aku capai sekarang? Sekiranya jawapan kamu tidak, maka lanjutkan.
Kamu mahu menjadi seorang ketua, berfikirlah sebagai seorang ketua, apa yang kamu harapan daripada staf di bawah kamu, bagaimana mereka harus bekerja? Sekiranya kamu sudah tahu, lakukan seperti apa yang kamu harapkan. Sudah pasti kamu akan kagum dengan percapaian sendiri.
4.Sentiasa berusaha memperbaiki diri.
Jika boleh, biarkan disekeliling kamu dikelilingi dengan sesuatu yang mendorong kamu untuk mencapai kejayaan atau bekerja lebih gigih.
Tingkatkan prestasi kerja dan diri kamu ke tahap maksimal. Caranya, bergaul dengan orang cemerlang di bidang kamu ceburi, sentiasa membaca buku-buku berkaitan, mengikuti seminar atau kursus atau apa sahaja yang boleh memajukan diri kamu.
Dengan cara itu, kamu akan tahu apa yang kamu tidak tahu. Sentiasa berbincang dengan pihak atasan atau rakan sekerja. Sampaikan idea yang ingin kamu kemukakan. Jangan takut memberikan sesuatu yang kamu rasa dapat membangunkan syarikat atau kerja yang dilakukan.
5.Bersaing dengan SIHAT
Di syarikat atau organasasi mana sekalipun, tidak kira kecil mahupun besar pasti wujud persaingan. Apabila wujudnya persaingan yang sihat, ini akan membuatkan kamu lebih bersemangat dan berghairah untuk bekerja. Bersaing itu perlu, tetapi biarlah dengan cara sihat tanpa ada perasaan dengki.
6. Jangan ketagih pujian.
Mana-mana orang pun, apabila diberi pujian akan timbul rasa bangga dalam diri. Sekiranya kamu melakukan sesuatu kerja dengan jaya dan hebat, tidak salah menerima pujian, tapi jangan pula kamu ketagih dengan pujian. Setiap kali membuat kerja, mahukan pujian. Ini telah melencong dari tujuan dan matlamat asal bekerja atau melakukan sesuatu tugasan. Terimalah pujian itu sebagai sebuah pujian, tapi jangan jadikan sebagai keperluan.
7. Bergaul dan ‘ringan tulang’ dengan semua orang
Tidak kira punyai jawatan tinggi ditempat kerja, atau sebaliknya, berusahalah untuk bergaul dengan semua orang di syarikat tempat kamu bekerja atau rakan niaga yang datang. Orang atas, bawahan, penyambut tetamu, pemandu atau sesiapa sahaja yang kamu temui. Tunjukkan ‘sense of humor’ kamu dan jangan kedekut untuk beri bantuan kepada rakan sekerja, pelanggan atau sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.
Perlu ingat, mungkin suatu masa nanti, kamu akan menjadi pemimpin mereka, mereka juga yang akan membantu kamu mencapai sasaran. Tiada yang lebih menyenangkan daripada mempunyai pemimpin yang menyenangkan bukan?
8. Jangan lupa berdoa dan beribadah
Perkara paling asas dan tidak harus lupa untuk melakukannya sepanjang hari-hari kamu mencari rezeki. Beribadah dan berdoa kepada Yang Maha Esa, agar sentiasa diberi kesenangan dalam melakukan tugas harian, dimurahkan rezeki serta mendapat keredhaan daripada apa yang kamu kerjakan. Segala kejayaan mahupun kegagalan itu adalah takdir Ilahi. Kamu sebagai pekerja atau majikan sekalipun, berusaha…berusaha…berdoa.
mingguanwanita
|