AIDIL Zafuan Abdul Razak percaya kejuaraan Piala AFC dan trofi Liga Super 2015 yang diraih bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah penyumbang besar menyebabkan beliau terpilih untuk Anugerah Pemain Pertahanan terbaik. Aidil yang terkejut dengan penghargaan itu mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan JDT yang sentiasa memberi dorongan dan kata-kata semangat kepadanya. "Alhamdullilah... saya anggap anugerah yang diperoleh ini sebagai rezeki tidak kira dalam Liga Malaysia atau Piala AFC. "Walaupun saya dilanda kecederaan di awal musim dan mula bermain di pertengahan tahun, tapi saya bersyukur dengan kejayaan yang diraih sepanjang musim ini. "Tapi, kejayaan ini tidak mampu diraih tanpa bantuan pemain yang lain kerana dalam padang bukan saya seorang tetapi melibatkan 11 pemain. "Penghargaan yang diberi ini akan menjadi motivasi dan batu loncatan untuk saya terus memberikan yang terbaik pada masa hadapan," katanya.
|