Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Melvin Chung berkata kompaun dikeluarkan kepada sebuah syarikat yang menjalankan khidmat penghantaran dan perkapalan di kawasan perindustrian Tanjung Kidurong dan sebuah lagi syarikat penjualan kereta di Jalan Tanjung Batu. Syarikat di Tanjung Kidurong dikompaun RM43,000, manakala syarikat di Jalan Tanjung Batu dikenakan RM14,500. Dua puluh dua pekerja syarikat perkhidmatan penghantaran dan perkapalan itu didapati tidak membuat imbasan MySejahtera. "Hasil pemeriksaan turut mendapati pekerja di syarikat terbabit gagal untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (SOP Diperketatkan) yang dilaksanakan di Bintulu pada masa sekarang iaitu hanya 30 peratus sahaja kakitangan dibenarkan berada di tempat kerja," ujarnya ketika ditemui selepas operasi pemeriksaan, hari ini.
Operasi bersepadu itu dijalankan Pejabat Kesihatan Bintulu, disertai Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pukul 9:30 pagi hingga 1:00 tengah hari. Pemeriksaan terhadap syarikat menjual kereta mendapati pengurusannya gagal mematuhi peraturan menetapkan cuma 30 peratus kakitangan berada di pejabat, manakala tiga pekerjanya tidak membuat imbasan MySejahtera.
kredit : utusan borneo 01/05/2021 |