Jangan balik kampung raya tahun ini - Tiong
BINTULU: Semua ketua kampung di bahagian ini disaran untuk memaklumkan kepada penduduk yang berada di luar kawasan agar tidak balik ke kampung menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, kata Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata ia adalah bagi mengawal penularan virus COVID-19 yang masih merebak pada masa sekarang. "Sebaik-baiknya ketua kampung di setiap kampung di Bintulu harus memainkan peranan proaktif dengan memaklumkan semua penduduk jagaan mereka terutama yang tinggal di luar kawasan Bintulu agar tidak balik kampung," ujarnya dalam kenyataan selepas menyertai operasi pemeriksaan ke atas premis niaga dan perindustrian sekitar Bintulu, hari ini. Pemeriksaan yang disertai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bintulu itu secara amnya bagi memastikan syarat-syarat yang dikuatkuasakan dalam PKPB prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan dipatuhi semua pihak. Justeru katanya, ketua kampung harus menggunakan pelbagai medium bagi menghubungi atau memaklumkan penduduk kampung masing-masing yang tinggal atau bekerja di luar kawasan Bintulu agar tidak balik ke kampung pada Hari Raya akan datang. Ujarnya, ia merupakan tanggungjawab semua demi menjaga diri dan orang sekeliling terutama ibu bapa dan golongan tua di kampung. Beliau dalam masa sama berkata kes COVID-19 di Bintulu mencatatkan penurunan kadar jangkitan harian sejak dua hari lepas yang mana ianya merupakan satu petanda baik buat semua. "Penurunan kes ini merupakan hasil daripada pelaksanaan PKPD SOP Diperketatkan yang mana ianya agak berkesan bagi mengurangkan kadar jangkitan," tegas beliau. Tiong dalam pada itu sebagai berkata kadar penurunan ini merupakan hasil kerjasama dari semua pihak terutama orang awam yang mematuhi arahan dikeluarkan sepanjang pelaksanaan PKPB SOP Diperketatkan.
kredit : utusan borneo 03/05/2021
|