Edited by Vellfire at 6-5-2021 12:24 PM
Tinjauan dalam talian: Kebanyakan mahu AztraZeneca jadi pilihan di Sarawak
Carta di sebelah kiri menunjukkan 709 responden bersetuju bahawa vaksin AZ Covid-19 patutnya menjadi pilihan bagi rakyat Sarawak, dan sebelah kanan menunjukkan bilangan mereka yang ingin disuntik dengannya
Tinjauan The Borneo Post Online dalam tempoh 24 jam lalu menyoal responden sama ada vaksin tersebut harus menjadi pilihan rakyat Sarawak dan adakah mereka mahu diberi vaksin tersebut.
Tinjauan dilakukan bagi mendapatkan pandangan masyarakat mengenai vaksin itu setelah kerajaan Sarawak memutuskan minggu lalu bahawa ia tidak akan menerima vaksin AZ di negeri ini, susulan kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan kesan sampingannya, termasuk pembekuan darah. Sementara itu, Putrajaya sebelum ini mengeluarkan vaksin AZ dari Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Kemudian menawarkan vaksin tersebut di bawah program sukarela yang telah dilancarkan pada Ahad lalu di Lembah Klang dengan semua 268,000 slot temu janji diisi dalam masa tiga jam.
Sehubungan itu, tinjauan mendapati separuh daripada 1,024 responden atau 52.7 peratus ingin disuntik dengan vaksin AZ, tetapi 69.3 peratus atau 709 responden bersetuju bahawa ia harus menjadi pilihan bagi rakyat Sarawak. Seorang guru yang terlibat dengan tinjauan itu menyatakan bahawa tidak menghairankan sekiranya rata-rata daripada responden lebih gemar sekiranya vaksin AZ dijadikan sebagai pilihan bagi rakyat Sarawak.
"Ya, rakyat Sarawak harus mempunyai pilihan. Namun mereka juga harus diberikan peringatan terutamanya dari segi kesan sampingan dan risiko yang akan mereka hadapi,” ujar guru wanita yang enggan didedahkan nama. Beliau turut mengatakan yang orang awam harus dididik mengenai bagaimana mereka masih boleh menjadi pembawa virus walaupun mereka telah divaksin. "Mereka yang telah divaksin mungkin merasa terjamin dengan kesihatan masing-masing namun pada hakikatnya mereka masih boleh mendatangkan risiko terhadap individu yang tidak divaksin,” katanya.
Seorang responden lain pula mengatakan, orang awam tidak sepatutnya diberikan pilihan untuk memilih vaksin yang mereka inginkan berikutan mereka akan memilih berdasarkan perkara dibaca atas talian atau berdasarkan 'Google'. Eksekutif syarikat itu menjelaskan, maklumat yang didapati mereka mungkin tidak sesuai. Tambahnya, ramai netizen pada masa kini melakukan penyelidikan sendiri secara atas talian dan seterusnya percaya dengan hasil tersebut tanpa berunding dengan profesional sebenar.
"Tindakan membenarkan rakyat Sarawak melakukan suntikan itu adalah satu perkara yang bagus. Namun jika timbul kesan buruk daripadanya apa yang akan terjadi? Adakah kita akan menyalahkan pihak berkuasa kerana membenarkan Sarawak dalam memperbolehkan pendaftaran? "Implikasinya jauh dan luas. Malah antara rakyat Malaysia berpendapat bahawa setelah diberi vaksin, mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka inginkan,” katanya sambil menambah, vaksinasi bukan pas percuma untuk melakukan sesuatu mengikut sesuka hati serta mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).
Justeru, timbul desakan terhadap kerajaan Sarawak untuk mempertimbangkan kembali keputusannya agar tidak menerima vaksin AZ di negeri ini. Antaranya adalah penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu Dr Annuar Rapaee yang mencadangkan agar vaksin AZ menjadi pilihan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, secara sukarela.
Jelas beliau, sesiapa yang ingin mendapat vaksin AZ, mereka pasti sudah dimaklumkan mengenai faedah dan risikonya. “Pemberian vaksin dengan AstraZeneca mesti dilakukan secara sukarela tanpa sebarang tekanan. Di Kanada, mereka yang berumur 60 tahun ke atas akan menerima vaksin jenis ini; sementara di United Kingdom, ia adalah untuk mereka yang berumur lebih atas 30 tahun,” katanya. Vaksin Covid-19 yang diberikan pada masa ini adalah dari Pfizer-BioNTech dan Sinovac.
|