View: 6852|Reply: 9
|
Sering Dijadikan Sebagai Pemanis Mulut, Ini Adalah Asal Usul Dodol
[Copy link]
|
|
Sering Dijadikan Sebagai Pemanis Mulut, Ini Adalah Asal Usul Dodol
Dodol adalah antara juadah yang popular tatkala menjelangnya hari raya. Masakan tradisional Melayu lama ini sehingga kini masih lagi mendapat tempat di hati masyarakat di Malaysia.
Tetapi pernahkah anda tertanya-tanya dari mana datangnya asal usul manisan ini? Dan bagaimana masyarakat dahulu boleh terfikir untuk menjadikan ia sebagai hidangan istimewa yang mengambil masa berjam-jam untuk disiapkan?
Dodol dikatakan berasal dari Betawi, Indonesia. Seperti di Malaysia, ia dijadikan sebagai pemanis mulut istimewa semasa menjelangnya lebaran.
Kehadiran dodol yang berunsur beras di dalamnya adalah simbol kepada budaya agraria masyarakat Betawi dahulu kala. Pada waktu itu, dodol dikatakan hanya untuk kalangan tertentu dan orang-orang kaya.
Menariknya, perkataan ‘dodol’ ada tercatat dalam kamus tahun 1852 yang berjudul A grammar and dictionary of the Malay language: with a preliminary. Jilid 2 oleh John Crawfurd.
Menurut kamus tersebut, perkataan confectionery memberi erti manisan atau dodol.
Bagaimanapun, dodol turut terkenal di Singapura, Brunei, Filipina (terutamanya di Luzon dan Mindanao), Sri Lanka dan Myanmar di mana ia dipanggil ‘mont kalama’.
Namun demikian, teknik membuat dodol tetap sama iaitu dengan menggunakan santan, gula perang atau gula melaka dan tepung beras sebagai ramuannya.
Di Malaysia, makanan tradisional ini lebih digemari dan terkenal di Melaka, Negeri Sembilan dan Muar, Johor. Berlainan dari negeri-negeri lain, di Negeri Sembilan, masyarakat di negeri itu menamakan dodol sebagai ‘penganan’.
Selain dodol berwarna coklat biasa, kini dodol mempunyai banyak perisa lain. Paling popular ialah dodol perisa durian yang dipanggil lempuk. Ia berwarna kuning dan lebih popular di Thailand, Kelantan dan Terengganu. Dodol durian juga popular di Medan, Indonesia dan juga bandar-bandar lain di Sumatera.
Berbeza pula di Goa, India apabila dodol tersebut dimakan ketika menyambut perayaan krismas. Ia dipanggil sebagai ‘halwa’ di India dan juga Amerika Timur.
Halwa biasanya diperbuat daripada gula, susu, tepung gandum, semolina dan juga tepung jagung.
Lain pula di Bali, dodol di sana dijual di dalam daun jagung yang kering. Makanan tradisional ini juga telah terkenal di negara-negara Timur Tengah.
Boleh dikatakan, masyarakat Indonesia adalah antara yang paling kreatif dalam menghasilkan dodol. Terdapat pelbagai jenis dodol yang anda boleh cuba di sana.
Antaranya adalah dodol garut, dodol kacang hijau, dodol bengkoang, dodol nangka, dodol ubi talam, dodol sirsak (durian belanda), dodol tomato, dodol pita, dodol apel malang, dodol salak, dodol rumput laut, dodol pisang, dodol nanas, dodol mangga dan dodol lidah buaya.
Di Malaysia, ‘Dodol Pilah’ adalah salah satu yang paling popular dan anda boleh mendapatinya di R&R Jemapoh di sepanjang Jalan Kuala Pilah-Bahau, Negeri Sembilan.
Sedikit berlainan dengan dodol biasa, di sini mereka menggunakan gula enau/gula kabung dan bukannya gula Melaka. Rasa dodol yang dihasilkan lebih enak dan berlemak.
Proses pembuatan dodol juga bukanlah dalam masa yang singkat. Ia memerlukan masa yang agak lama sekitar empat jam hingga lapan jam bergantung kepada kuantiti bahan-bahannya.
Dodol hendaklah sentiasa dikacau daripada awal menyediakannya sehinggalah masak. Ini adalah untuk memastikan segala bahan yang digunakan dapat bercampur dengan sebati. Proses mengacau dodol ini memerlukan lebih daripada seorang.Sebabnya adalah tekstur dodol akan berubah menjadi likat. Jadi ia akan menjadi lebih sukar untuk dikacau.
Memang unik bukan? Rupa-rupanya dodol bukan sahaja dimakan oleh masyarakat kita, malah di negara-negara luar juga. Apa-apa pun, semoga makanan tradisional melayu kita dapat dikekalkan sepanjang zaman.
Sumber:https://tehtarikgelasbesar.com
|
|
|
|
|
|
|
|
boleh try kat umah... insyaa Allah.. |
|
|
|
|
|
|
|
Masa muda tak suka dodol..dah berumur ni makan pulak, tapi yang kurang manis lah |
|
|
|
|
|
|
|
hari tu try Dodol Bonda sbb tgk nana mahazan beli..
sooka.. dodol yg lembik2 mcm tu, mmg kena dgn taste i.. |
|
|
|
|
|
|
|
klu kt tempat i dodol guna beras pulut yg dikisar sendiri
tekstur dodol jd kasar2 sikit
tp sedap ya amattt |
|
|
|
|
|
|
|
ya Allah sedapnya dodol.. lama tak makan.. nak gi cari kat shopee la |
|
|
|
|
|
|
|
Sedapnyaaa dodol! Kecurrrr air liurrr... |
|
|
|
|
|
|
|
Dah lama tak makan dodol..sedapnyaa |
|
|
|
|
|
|
| |
|