|
Seludup kucing masuk asrama
ANTARA kucing yang dipelihara di Cikgu Shas’s Cat Homes di Bangi.
Kuala Lumpur: Cikgu Shahariah Abdullah, 64, kerap 'menyeludup' kucing jalanan ke bilik asramanya ketika belajar di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Johor dan Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.
Hingga kini, Cikgu Shahariah yang sudah bersara tidak pernah 'memalingkan' wajahnya daripada kucing jalanan, malah setiap hari akan keluar 'memburu' haiwan berkenaan untuk diselamatkan.
Untuk rekod, Cikgu Shahariah ialah pemilik Cikgu Shas's Cat Homes di Bandar Baru Bangi di Bangi, Selangor.
"Saya sayangkan kucing dan sejak sekolah saya berusaha menyelamatkan kucing jalanan yang ditemui.
"Ketika di maktab perguruan dan universiti, saya selamatkan kucing jalanan dan membawanya masuk ke bilik asrama. Saya tidak sampai hati membiarkannya begitu saja," katanya.
Menurutnya, Cikgu Shas's Cat Homes ditubuhkan pada 2018 dan dia melakukan sebahagian besar tugasan berkenaan berseorangan tanpa bantuan sukarelawan.
Katanya, setiap hari, dia akan keluar mencari kucing jalanan, menjaganya selain membawa haiwan berkenaan ke klinik untuk rawatan dan sebagainya.
"Saya pelihara sehingga 70 kucing jalanan pada satu-satu masa di sekitar rumah yang dijadikan pusat jagaan.
"Ia memang mencabar, namun saya rasa tenang dan lebih bertanggungjawab dengan memelihara serta memberi penjagaan terhadap kucing ini," katanya.
Bukan semua kucing jalanan diselamatkan dalam keadaan sempurna, ada yang cedera parah dan sakit teruk.
"Saya pernah selamatkan kucing yang satu daripada kakinya hanya tinggal tulang dengan dagingnya sudah luruh.
"Saya bawa kucing ini ke klinik haiwan sebelum doktor mengambil keputusan memotong kaki yang sudah membusuk itu," katanya.
Pada masa sama, katanya, dia turut menyelamatkan banyak kucing yang menghidap penyakit sporo.
"Sporo ambil masa untuk sembuh, ada kalanya hingga setahun. Ia biasanya menjangkiti bahagian hidung kucing dan darahnya tidak pernah kering.
"Kucing seperti ini perlukan penjagaan rapi untuk memastikan ia terus hidup," katanya.
Menurut Cikgu Shahariah, setiap hari juga, dia akan ke beberapa lokasi di sekitar Bangi untuk memberi kucing jalanan makan.
"Pada masa sama, saya juga akan bawa kucing yang sakit ke klinik haiwan. Jika ia masih kecil, saya bawa pulang dan jika dewasa, saya akan letakkannya di tempat sama.
"Bukan itu saja, malah saya akan turut membawa kucing ini untuk dikembiri," katanya.
Menurut Cikgu Shahariah, berkaitan dana penjagaan, ia datang daripada poketnya sendiri manakala makanan pula sebahagiannya hasil tajaan selain dibeli.
"Sebelum ini, saya akan bawa kucing ke pusat beli- belah Wangsa Walk di Wangsa Maju untuk program keluarga angkat kucing.
"Kini, saya gunakan platform di Facebook selain applikasi lain untuk tujuan ini. Saya tidak bela semua kucing sebaliknya hanya bela yang tua, sakit selain cedera parah," katanya.
Berkaitan sikap masyarakat yang gemar membuang kucing, Cikgu Shahariah berkata, ia ada kaitan dengan kemampuan sesebuah keluarga atau individu untuk memelihara haiwan berkenaan.
"Satu nasihat saya, bela kucing dalam jumlah yang mampu saja dan jangan terlalu banyak. Pada masa sama, keluarkan sedikit belanja untuk membawa kucing ini ke klinik haiwan untuk dikembiri.
"Kucing akan melahirkan anak hanya selepas dua bulan hamil dan dalam setahun, ia boleh hamil berkali-kali menyebabkan jumlahnya berganda," katanya.
Katanya, keluarga yang tidak berkemampuan untuk membeli makanan kucing akhirnya membuang haiwan itu di lokasi difikirkan selamat seperti kedai makan atau stesen minyak.
"Saya akan terus menyelamatkan kucing jalanan selagi terdaya. Kucing ini makhluk Allah SWT yang patut disayangi, bukan dizalimi.
"Terima kasih kepada Kelab Kucing Malaysia (KKM), termasuk Presidennya, Khalid Rashid yang banyak membantu saya selain masyarakat yang sudi menjadikan haiwan di Cikgu Shas's Cat Homes sebagai kucing angkat," katanya.
SHAHARIAH pengusaha Cikgu Shas’s Cat Homes di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
Rate
-
2
View Rating Log
-
|