BAU, 18 Ogos: Seorang penumpang maut manakala pemandu cedera parah selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki bertembung dengan sebuah pikap dari arah bertentangan berdekatan Kampung Batu Sepit, Jalan Bidi Krokong petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.50 petang.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pemandu yang cedera parah di bahagian kepala berjaya dikeluarkan oleh orang awam dari kenderaan itu sebelum dikejarkan ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut.
Sementara pemandu dan dua penumpang pikap itu hanya mengalami cedera ringan.