[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 19, 2021 @ 9:24pm[email protected]
Abdul Wahab Mat Yasin (kanan) diberi penerangan oleh Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon mengenai SAR yang dilakukan untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Titi Hayun. foto ZULIATY ZULKIFFLI
YAN: Pemantauan udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati tiada kesan tanah lapang atau kawasan terbuka di puncak Gunung Jerai dan Titi Hayun.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, berkata tinjauan menerusi helikopter Agusta AW189 itu hanya mendapati terdapat kawasan kesan aliran air akibat kejadian kepala air, yang berlaku semalam.
"Hasil tinjauan udara sekitar kawasan kejadian mendapati terdapat kesan aliran akibat kepala air yang menyebabkan banjir kilat semalam.
"Kita juga dapati terdapat sisa kayu dan lumpur serta batu yang turun dari atas hingga ke kawasan perkampungan dan kawasan resort sekitar anak sungai yang ada," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon dan Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan berlaku kegiatan pembersihan hutan sekitar Gunung Jerai sehingga menyebabkan kejadian kepala air berlaku.
Abdul Wahab berkata, kejadian kepala air itu memberi kesan di kawasan perkampungan sekitar Titi Hayun dan Salak Denai, selain terdapat tanah runtuh yang mengakibatkan mangsa terperangkap.
"Ia menyebabkan banjir kilat di Taman Lembah Merbok, yang mana seramai 17 orang penduduk kampung terjejas, namun semuanya selamat.
"Ketika ini, seramai 71 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi mencari membabitkan pelbagai kepakaran, termasuk dari STORM dan Unit K-19, yang menggunakan dua ekor anjing pengesan bagi mencari mangsa," katanya.
Abdul Wahab berkata, pihaknya turut menambah keanggotaan bantuan dari luar Kedah iaitu dari JBPM Pulau Pinang, Perak dan Perlis, membabitkan keseluruhan 23 anggota.