[size=0.8]Oleh Noorazura Abdul Rahman - Ogos 20, 2021 @ 8:52am[email protected]
Tragedi kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai, Rabu lalu menyebabkan banyak rumah penduduk yang rosak. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
ALOR SETAR: Kira-kira 1,000 keluarga yang terkesan akibat tragedi kepala air di Yan dan Kuala Muda, akan menerima bantuan wang tunai sebanyak RM500.
Bagi penduduk yang kehilangan nyawa, waris terdekat akan menerima bantuan RM5,000 bagi meringankan beban keluarga.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bantuan itu diputuskan selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), malam tadi.
Katanya, bantuan berkenaan adalah bagi meringankan beban dan membantu penduduk dalam kerja penggantian sebahagian peralatan asas rumah dan pembersihan.
Seorang penduduk Sukina Abu Bakar mengorek lumpur di halaman rumahnya di Jalan Masjid Yan. - Foto BERNAMA
Suasana sekitar pusat peranginan Alang Kenari dekat Titi Hayun yang dipenuhi kayu dan lumpur berikutan kejadian banjir kilat. - Foto BERNAMA
"Berdasarkan laporan awal, kita dimaklumkan jumlah rumah yang terjejas dalam tragedi ini dianggarkan 800 di Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda.
"Bagi keluarga mangsa yang kehilangan nyawa akibat tragedi ini, kerajaan akan menghulurkan bantuan RM5,000 kepada keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi, berkata urusan pendaftaran keluarga yang terjejas untuk menerima bantuan ini akan diuruskan oleh Pejabat Daerah Yan dan Pejabat Daerah Kuala Muda.
"Sebagai langkah awal, keluarga terbabit dinasihat membuat laporan polis dan mendaftarkan nama serta maklumat diri di pejabat daerah masing-masing.
"Bagi bantuan membaiki kerosakan bangunan bukan kediaman dan bangunan kerajaan, ia masih dalam perbincangan lanjut," katanya.
Muhammad Sanusi (dua dari kiri) menyerahkan bayaran faedah PERKESO kepada Ranida Ahmad, 47, selepas suaminya Sharuzi Mohammad, 52, meninggal dunia akibat kejadian kepala air ketika pulang dari bekerja dari Jerai Hill, petang semalam. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Keadaan kedai yang terjejas di pekan Yan disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. - NSTP/Luqman Hakim Zubir