[size=0.8]Oleh Nur Izzati Mohamad - Ogos 20, 2021 @ 7:28pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/COVID-19_logo_1629458887.jpg)
NIBONG TEBAL: Selepas Pasar Awam Kepala Batas, kini Pasar Awam Tambun Indah di Simpang Ampat pula diarah ditutup berikutan terdapat tujuh kes positif COVID-19 dikesan.
Ia adalah pasar awam kelapan kendalian Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang terpaksa menghentikan sementara operasi.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud, berkata penutupan pasar awam terbabit dibuat selama 10 hari bermula esok hingga 30 Ogos depan atau hingga dimaklumkan semula bagi membolehkan aktiviti saringan dan kerja sanitasi dibuat di tapak pasar berkenaan.
"Penutupan dibuat selepas tujuh kes positif COVID-19 dikesan membabitkan seorang peniaga, empat pekerja serta dua kakitangan MBSP sendiri.
"Oleh itu, peniaga dan pekerja lain di pasar itu hendaklah membuat ujian saringan hari ini dan hanya peniaga yang disahkan negatif sahaja akan dibenarkan masuk berniaga semula mulai 31 Ogos atau pada tarikh lain sekiranya penutupan ini dilanjutkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Selatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu MBSP menutup tujuh buah pasar awam di Seberang Perai iaitu di Bagan Ajam; Bukit Mertajam; Chai Leng Park; Mak Mandin, Seberang Jaya, Taman Sri Rambai dan Kepala Batas akibat penularan Covid-19.
Mengulas mengenai situasi Pasar Awam Kepala Batas, Rozali berkata, hingga kini terdapat 60 kes positif COVID-19 direkodkan membabitkan seramai 21 peniaga serta 39 pembantu perniagaan selepas ujian saringan dijalankan.