[size=0.8]Oleh Nur Izzati Mohamad - Ogos 29, 2021 @ 11:52am[email protected]
KEPALA BATAS: Walaupun tubuh semakin dimamah usia, peristiwa tiga rakan gugur ditembak komunis ketika sama-sama berjuang mengawal sempadan negara kekal segar terpahat dalam ingatan seorang pejuang tanah air.
Koperal Abdul Rahaman Bakar, 97 yang berkhidmat sebagai anggota polis hutan dari 1948 hingga 1956, berpengalaman beberapa kali bertempur dengan serangan hendap komunis.
Walaupun hanya lapan tahun bersama pasukan polis, beliau berkata, ia membawa makna besar kerana dapat berkhidmat sebagai pasukan keselamatan yang dibentuk pada era darurat
"Waktu mula-mula saya bekerja ada dua kompeni (pasukan polis hutan) dan kerja kami memang masuk ke hutan untuk mencari komunis.
"Dalam satu kejadian sekitar 1951 ketika masuk ke hutan di Kulim, Kedah, kami terserempak dengan komunis dan berlaku pertempuran yang mana mereka menembak mati tiga rakan saya hingga ada yang terburai isi perut.
"Kejadian itu memberi kesan kepada saya kerana rakan sendiri mati di depan mata dan sampai sekarang saya amat benci pada komunis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Alamanda, di sini.
Abdul Rahaman berkata, tugas dan tanggungjawab pasukan keselamatan pada zaman itu amat mencabar, terutama mereka yang baru bertugas sebagai anggota polis.
Bagaimanapun, beliau tetap bersemangat menyerahkan seluruh jiwa dalam usaha melindungi penduduk dan menentang komunis supaya tanah air dapat mencapai kemerdekaan.
Bapa kepada empat anak itu berharap generasi kini menghayati perjuangan pasukan keselamatan terdahulu yang berusaha keras bagi memastikan nikmat kesenangan hari ini.
"Hidup zaman darurat bukan macam hari ini yang jauh lebih senang dan dapat makan apa sahaja yang diingini.
"Zaman dahulu semuanya susah, ubi kayu jadi makanan setiap hari. Hargailah kemerdekaan yang kita capai atas perjuangan orang terdahulu," katanya.
Jasa dan khidmat bakti Abdul Rahaman sebagai pejuang kemerdekaan mendapat perhatian dan pernah menerima surat penghargaan daripada kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Abdul Rahaman berkata, nilai kemerdekaan dahulu dengan sekarang jauh berbeza seiring peredaran zaman dan teknologi.
"Orang dahulu tahu peritnya nak merdeka sebab terpaksa menentang penjajah sebelum bebas.
"Hari ini, rakyat Malaysia dilahirkan dalam negara yang selamat dan bebas ke mana sahaja, semuanya hasil perjuangan mereka yang bermati-matian mempertahankan tanah air," katanya.
Abdul Rahaman menunjukkan surat perakuan lantikan ketika berkhidmat sebagai anggota polis hutan dari 1948 hingga 1956. - NSTP/DANIAL SAAD