Silverstone, United Kingdom: Fabio Quartararo menghampiri Kejuaraan MotoGP Dunia yang pertamanya selepas merangkul kemenangan kelima musim ini di Grand Prix British untuk melebarkan penguasaan dalam kedudukan kejuaraan dengan 65 mata.
Pelumba Yamaha dari Perancis itu tidak menunjukkan sebarang kesakitan susulan terjatuh ketika latihan pada Jumaat yang menyaksikan dia sukar berjalan ketika dia mendahului dalam lima pusingan dan berjaya memboloskan diri daripada saingan terdekat dengan kemenangan 2.6 saat dari Alex Rins pelumba Suzuki dan Aleix Espargaro memastikan podium pertama MotoGP buat Aprilia apabila menduduki tempat ketiga.
Quartararo memulakan perlumbaan di tempat ketiga dan tercicir di tempat keempat selepas permulaan yang kurang meyakinkan tetapi segera bangkit di litar untuk berada di depan.
Selepas sahaja pelumba berusia 22 tahun itu berjaya menyesuaikan diri di litar dia dilihat mempunyai kedudukan stabil bergelar juara.