[size=0.8]Oleh Zuhainy Zulkiffli - Ogos 30, 2021 @ 4:03pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/IMG_20210830_153735_1630310568.jpg)
Antara barangan yang dirampas ketika serbuan di sebuah pusat kecantikan di Batu Uban yang disyaki mengendalikan perkhidmatan ujian saringan COVID-19 secara haram. - Foto tular
GEORGETOWN: Sebuah pusat kecantikan diarah tutup selepas didapati mengendalikan perkhidmatan ujian saringan COVID-19 secara haram di Batu Uban, di sini, hari ini.
Kegiatan pemilik premis itu dikesan hasil maklumat awam sebelum Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) negeri melakukan serbuan kira-kira jam 11 pagi tadi.
Ketua Penolong Pengarah Kesihatan CKAPS Pulau Pinang, Dr Mohamed Iqbal Hamzah, berkata siasatan awal mendapati premis itu menyediakan perkhidmatan ujian saringan COVID-19 tanpa pengendalian pihak bertauliah.
Malah, katanya, pekerja pusat kecantikan itu sendiri melakukan ujian saringan kepada pelanggan tanpa kehadiran doktor mahupun jururawat ketika serbuan dilakukan.
"Semakan mendapati, lebih 100 pelanggan sudah melakukan ujian saringan di premis ini sejak ia beroperasi dua hari lalu.
"Kemungkinan harga RM50 yang ditetapkan bagi setiap ujian saringan itu menyebabkan premis ini dikunjungi ramai pelanggan," katanya hari ini.
Dr Mohamed Iqbal berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai pusat kecantikan itu yang dibenarkan mengendalikan ujian saringan COVID-19.
"Premis ini diarah tutup susulan menyediakan perkhidmatan saringan COVID-19 secara haram.
"Orang ramai dinasihat supaya berhati-hati ketika mendapatkan perkhidmatan ujian saringan COVID-19 yang lebih murah, berbanding harga di klinik kerana dibimbangi akan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab," katanya.