View: 1723|Reply: 0
|
[Sarawak]
[ALERT] Pinjaman wang tak wujud, jenayah komersial tertinggi di Sarawak
[Copy link]
|
|
KUCHING: Penipuan pinjaman wang tidak wujud antara jenayah komersial tertinggi berlaku di Sarawak dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini dengan merekodkan kerugian sebanyak RM3.1 juta daripada 326 kes.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidil Ismail berkata (gambar) sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, sebanyak RM38.9 juta kerugian direkodkan.
Manakala katanya, bagi tempoh yang sama tahun lalu, sebanyak RM52.8 juta dicatatkan yang menunjukkan penurunan 26.33 peratus atau RM13.9 juta.
“Jenayah komesial kedua tertinggi ialah Macau SCAM dengan 120 kes yang melibatkan kerugian RM4.1 juta dalam tempoh sama tahun ini. Penyamaran dalam talian merupakan jenayah komersial ketiga yang merekodkan 96 kes dengan kerugian RM597,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian mengenai Jenayah Kewangan sempena Kempen Kesedaran Kewangan Sarawak (ViSFA) Edisi Oktober 2021 yang dilakukan menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Adil menambah, sebanyak 92 kes melibatkan jenayah jual beli kereta yang menyebabkan kerugian berjumlah RM980,000.
“Jenayah komersial kelima tertinggi dicatatkan di Sarawak ialah love scam atau dikenali sebagai African Scam atau Parcel Scam iaitu sebanyak 88 kes melibatkan RM1.9 juta,” jelasnya.
Sindiket ini katanya, menggunakan medium internet dan telekomunikasi untuk menipu mangsa.
“Sindiket penipuan akan menyamar sebagai polis, pihak mahkamah, SPRM, LHDN, Bank Negara Malaysia, bank-bank komersial, Pos Laju dan lain-lain,” jelasnya.
Mangsa kemudian katanya, diarahkan membuat bayaran sejumlah wang atas pelbagai alasan yang direka-reka oleh sindiket dengan niat untuk mendapatkan wang daripada mangsa.
“Oleh itu, saya ingin menasihatkan orang awam untuk jangan sesekali mendedahkan maklumat perbankan atau maklumat kewangan anda. Jangan panik atau takut ditangkap pihak polis jika anda tidak melakukan sebarang kesalahan serta tamatkan segera panggilan telefon tersebut,” kata beliau.
Tegasnya, pihak polis atau sebarang agensi kerajaan tidak akan menghubungi pengadu melalui telefon bagi memaklumkan tentang kes jenayah apatah lagi cuba menyelesaikannya melalui perhubungan telefon.
“Pihak polis atau mana-mana agensi kerajaan tidak pernah meminta anda memasukkan wang ke akaun sebarang individu untuk menyelesaikan sesuatu kes. Sekiranya masih ragu, anda boleh hubungi atau rujuk ke balai polis yang berhampiran sekiranya masih ragu,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah mewujudkan CCID Infoline bagi memberi kemudahan kepada masyarakat.
Orang ramai boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 atau CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 untuk sebarang aduan atau pertanyaan.
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|