|
AS mula berundur dari Iraq
BAGHDAD - Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) akan berundur dari bandar raya dan bandar-bandar utama Iraq dalam satu pelan pengunduran berperingkat sehingga Ogos 2010.
Kebanyakan anggota tentera AS akan berundur dari pangkalan masing-masing dan hanya akan kembali memasuki kawasan bandar sekiranya pasukan keselamatan Iraq meminta bantuan.
Majlis formal penyerahan kuasa akan dilakukan Isnin ini manakala kerajaan Iraq mengisytihar pengunduran rasmi itu sebagai hari cuti umum.
Sejumlah tentera dan kereta perisai akan terus berkawal di jalan-jalan raya seperti enam tahun lalu tetapi tugas itu akan diambil alih oleh tentera Iraq serta anggota polis.
Hanya sejumlah kecil anggota tentera AS terbabit dalam latihan dan nasihat di kawasan bandar manakala 131,000 lagi berada di beberapa kawasan di Iraq.
Para pemimpin Iraq menyuarakan rasa yakin terhadap pasukan negara itu boleh memberikan jaminan keselamatan kepada 30 juta rakyatnya tetapi mereka masih berhadapan cabaran termasuk pemberontakan dan ancaman militan.
"Pengunduran tidak bermakna berakhirnya cabaran keselamatan. Pasukan keselamatan mempunyai kemampuan untuk menangani cabaran itu," kata Menteri Dalam Negeri, Jawad al-Bolani dalam satu sidang akhbar di sini semalam.
Iraq kini mempunyai 500,000 pegawai polis dan 250,000 anggota tentera yang sudah dikerah ke seluruh negara.
Bagaimanapun, tahap keselamatan di Kirkuk dan Nasiriyah masih tidak memuaskan setelah lebih 100 orang dilapor terbunuh sejak awal bulan ini.
Perdana Menteri, Nuri al-Maliki menuduh kumpulan Al-Qaeda melancarkan serangan tersebut yang dianggap terburuk dalam tempoh 16 bulan.
Pemerintah tentera AS di Iraq, Jeneral Ray Odierno berkata, peranan Washington kini adalah untuk melatih, menasihat dan koordinasi.
"Kami komited terhadap sebuah negara berdaulat, stabil dan berdikari," katanya.
Washington juga berikrar untuk menyediakan 8,500 unit kenderaan Humvee manakala 11,000 tahanan warga Iraq di penjara seliaannya juga akan diserahkan kepada Baghdad menjelang Ogos 2010. - AFP |
|
|
|
|
|
|
|
kene bom tiap2 ari.. tapi rakyat masih ada... kuasa tuhan.. 1 mati 10 lahir |
|
|
|
|
|
|
| |
|