|
Penyanyi terkenal 'Altantuya' Korea mati tergantung
24-01-2007 08:32:54 PM
Oleh ELIZABETH LOOI
![](http://www.mstar.com.my/cms/storage/images/com.tms.cms.image.Image_5416c604-c0a85062-50fda200-46c5cb97/1/u-nee2401a.jpg)
| PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi pop terkenal Korea Selatan, U-Nee -- pada awal disangka warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu -- ditemui mati tergantung di rumahnya beberapa hari lalu selepas mengalami tekanan perasaan, lapor sebuah harian negara itu kelmarin.
Edisi dalam talian akhbar The Chosun Ilbo melaporkan nenek penyanyi itu, yang dikenali Lee, 71, menemui mayat U-Nee di pangsapurinya di Seo-gu, Incheon.
Lee berkata selepas pulang dari gereja, dia mendapati cucunya itu, 26 tahun, tergantung di bingkai pintu.
Peminat-peminat U-Nee terkejut dengan berita itu kerana mereka tidak sabar-sabar lagi menunggu album terbarunya Honey, yang dijadual dilancarkan pada 1 Feb.
U-Nee, atau nama sebenarnya Hur Youn, mula diberikan perhatian di negara ini apabila foto-fotonya disangka Altantuya, wanita jelita yang dibunuh kejam Oktober lalu.
Susulan itu, foto-foto penyanyi ini beredar luas melalui emel di sini dengan tajuk 'Altantuya@ Mongolia'. Google pula memaparkan foto-foto U-Nee apabila nama Altantuya dimasukkan di perisian carian terkenal itu.
Beberapa akhbar di sini dan Singapura menerbitkan kembali foto-foto U-Nee tetapi bapa Altantuya, Shaaribuu Setev kemudiannya menafikan foto itu anaknya.
Polis Korea Selatan berkata tidak terdapat nota bunuh diri di pangsapuri U-Nee, yang terletak di tingkat 22, dan beberapa kenalannya pula memberi keterangan bahawa penyanyi itu mengalami gejala kemurungan.
U-Nee dikatakan pernah menyiarkan kesepiannya di laman webnya sebelum ini.
"Saya rasa semuanya kosong. Saya sekali lagi melalui suatu jalan untuk tiba suatu tempat yang saya tidak ketahui," coretannya dipetik.
Upacara penghormatan terakhir diadakan di Hospital Omnuri di Majeon-dong, Incheon.
U-Nee mula terkenal dengan nama glamornya Lee Hye-ryeon selepas penampilan sulung melalui drama televisyen Grown-ups Just Don抰 Understand pada 1996.
Dia juga pernah berlakon filem Seventeen pada 1998 dan kemudian drama TV, Theme Game dan Tears of the Dragon.
Album sulungnya Go dilancarkan pada 2003 dan album kedua Call Call Call pada 2005
Harian itu mendakwa gerak tari seksi U-Nee dengan fesyen yang berani menjadikannya bintang tersohor di kalangan remaja Asia.
Penyanyi ini juga dilaporkan pernah berterus-terang dalam satu program TV pada 2005 bahawa dia seorang anak luar nikah yang dibesarkan oleh neneknya dan zaman kanak-kanaknya bermasalah.
Laman web U-Nee menerima kira-kira 3,000 ucapan takziah daripada peminatnya dalam tempoh sejam selepas berita kematiannya tersebar sehingga pelayan komputernya tidak mampu menampung lebihan muatan.
|
|
|