CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5359|Reply: 0

Emas keperangan sesuai untuk si hitam manis

[Copy link]
Post time 6-6-2008 10:42 PM | Show all posts |Read mode
Oleh Rohaniza Idris
[email protected]





Warna memainkan peranan penting jika mahu berfesyen kerana bukan semua warna sesuai digayakan

Soalan:
Saya berkulit gelap dengan ketinggian 157 sentimeter, berat badan 49 kilogram. Saya akan menghadiri majlis perkahwinan yang mewajibkan saya memakai pakaian berwarna keemasan. Bagaimanapun saya tidak yakin untuk mengenakan warna itu kerana kulit yang gelap bimbang akan menyebabkan saya bertambah gelap. Bagaimana cara untuk mengatasi keadaan ini? Apakah skim warna keemasan yang sesuai dengan kulit saya?
Merkatus melalui emel.

Jawapan:
Kulit hitam manis tidak menjadi masalah langsung jika hendak berfesyen. Malah, menjadi trend terkini untuk memiliki kulit yang berona 'tan' atau hitam manis. Lihat saja pada ikon fesyen di Malaysia mahupun di persada fesyen dunia.



Nama besar seperti Beyonce Knowles, Halle Barry dan Naomi Campbell sudah lama menjadi ikon fesyen malah di Malaysia sendiri mereka yang berkulit hitam manis seperti Ziana Zain, Ning Baizura dan Nurul sangat terkenal di dalam industri fesyen Malaysia dan menjadi inspirasi kepada pereka fesyen di Malaysia.

Diakui warna memainkan peranan penting jika mahu berfesyen kerana bukan semua warna yang muncul selari dengan aliran semasa sesuai untuk digayakan.

Apabila bercakap mengenai warna ia banyak bergantung dengan kesesuaian padanan warna dengan tona kulit dari kuning langsat hinggalah ke hitam manis.





Warna krim pucat misalnya tidak sesuai untuk digayakan orang yang berkulit putih kerana ia akan mentafsirkan imej yang pucat manakala ungu gelap juga kurang sesuai untuk orang yang berkulit hitam manis kerana akan menjadikan rona kulit anda bertambah gelap.

Bagaimanapun, secara peribadi saya berpendapat semuanya bergantung dengan cara seseorang individu itu sendiri menggayakan bajunya.

Tidak salah jika anda hendak mencuba, namun ia perlu bersesuaian dengan gaya. Lihat saja busana yang Ning Baizura gayakan pada hari persandingannya.

Kalau diikutkan, kurang sesuai warna 'royal blue' untuk digayakan oleh orang yang berkulit hitam manis tetapi dengan cara pembawaan dirinya dan juga gaya yang bersesuaian, Ning begitu menyerlah dengan warna itu.

Untuk Fariza, warna gold atau keemasan tidak menjadi masalah untuk digayakan tetapi pemilihan ronanya haruslah bertepatan.

Rona keemasan mempunyai pelbagai variasi yang mana untuk orang yang berkulit hitam manis, rona bronze gold atau emas keperangan dan soft gold - keemasan lembut sangat sesuai untuk anda.

Tetapi anda harus berhati-hati dengan pemilihan fabrik. Pada pendapat saya, fabrik seperti sutera Thai atau sutera asli sangat sesuai dengan anda memandangkan potongan badan anda yang agak kurus.

Rekaan kurung moden yang berpotongan lurus sangat sesuai selari dengan majlis yang bakal anda hadiri. Untuk imej yang lebih trendy, leher berpotongan 'v' akan menaikkan seri anda di samping ilusi leher yang lebih jinjang.

Perincian seperti 'pleated' atau 'pin tuck' di bawah baju dan di hujung lengan menjadi 'trend' terkini dan juga memberikan ilusi tinggi. Untuk melengkapkan gaya, kain sarung bersusun kipas dan berbelah depan sangat ideal untuk digayakan. Tetapi adalah lebih sesuai untuk anda gayakan kain yang bercorak kontra bersama baju yang polos.

Profil: Rizman & Ruzaini



Rizman Ruzaini adalah label bagi pereka fesyen muda Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil.


Rizman Nordin, berasal dari Pulau Pinang dan Wan Ruzaini dari Perak.


Terbabit dengan rekaan pakaian untuk nama besar dalam industri hiburan dan industri fesyen tempatan seperti Datin Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Erra Fazira, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah dan Nurul.


Terpilih sebagai pereka fesyen untuk perkahwinan Ning Baizura dan label Rizman & Ruzaini dicalonkan sebagai antara 10 pereka fesyen pakaian pengantin di Malaysia.


Menyertai industri fesyen selepas menyertai MIFA 2007, Piala Jarum Berlian '03 dan Piala Pesona Pengantin pada 2004,


Rizman dan Ruzaini adalah pemegang Ijazah Sarjana Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Beroperasi dari butik rumah di Shah Alam dan mereka boleh dihubungi di talian +6017 4766 004 dan +6012 4805 742 atau emel, [email protected]. Untuk keterangan lanjut layari laman web www.rizmanruzaini.blogspot.com

Info:

RUANGAN ini membantu anda yang menghadapi masalah fesyen bersesuaian tubuh serta majlis yang hendak dikunjungi. Semua masalah akan dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu. Hantarkan masalah anda melalui emel di [email protected] atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-1-2025 02:48 AM GMT+8 , Processed in 0.035527 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list