View: 4851|Reply: 4
|
Cerita disebalik bunga api Update : percikan artistik!!
[Copy link]
|
|
Di sebalik percikan bunga api - Kesilapan kecil boleh menyebabkan pertunjukan bertukar jadi 憁edan perang抂/i]
Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
MEMUKAU. Antara corak bunga api yang dipersembahkan
pasukan Malaysia baru-baru ini sekali gus berjaya dinobatkan
sebagai naib juara pertandingan pada tahun ini.
DARIPADA pembukaan Olimpik Beijing 2008 hinggalah sambutan Hari Kemerdekaan negara, pertunjukan bunga api sememangnya dinantikan oleh ramai orang.
Tetapi bagi pereka persembahan Pyro-Splendour Services Sdn. Bhd, Soo Kok Lian @ Sulen, 27, persiapan untuk menghasilkan bunga api yang baik bukanlah mudah. Pyro-Splendour Services ialah syarikat tunggal yang menguruskan persembahan bunga api negara.
Sulen telah enam tahun bekerja di syarikat itu serta mewakili negara pada Pertandingan Bunga Api Antarabangsa (MIFC) 2008 di Putrajaya, baru-baru ini.
"Bukan senang. Pasukan saya sendiri mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk menghasilkan persembahan bunga api terbaik untuk khalayak.
"Ini kerana banyak aspek perlu diambil kira, khasnya cuaca seperti tidak hujan, jerebu dan kekuatan angin.
"Jika hujan, bunga api akan basah, jerebu pula menyebabkan ia tidak kelihatan manakala angin kuat mengakibatkan percikan bunga api tidak seragam," kata pemegang Diploma Sumber Manusia dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) ini.
"Selain itu saya perlu menyusun muzik yang sama ketika bunga api dilancarkan. Segala emosi perlu selari dengan alunan muzik dan bentuk persembahan," ujarnya.
Menurut Sulen, tapak pelancaran yang lapang turut menjadi kelebihan kerana pasukannya dapat menghasilkan banyak paten persembahan dengan pelbagai aksi menarik dan mendebarkan.
Sulen juga sempat mengimbas pembabitan awalnya dalam bidang ini.
"Saya sangka kerja ini mudah dan buat pertunjukan bunga api pada malam perayaan dan merdeka sahaja.
"Rupa-rupanya dalam sebulan, ingin bercuti sehari pun susah," katanya yang sudah menimba ilmu bunga api hingga ke Sepanyol, Itali dan Australia.
BERSEDIA. Empat anak muda daripada pasukan Malaysia
(dari kiri) Sulen, Shafuan, Ronnie dan Yeow Siang menunjukkan
isyarat bagus sejurus sebelum persembahan bunga api pada
Pertandingan Bunga Api Antarabangsa di Putrajaya baru-baru ini.
Pyro-Splendour Services ditubuhkan pada tahun 1993.
Kepakaran mereka ialah dalam pertunjukan bunga api udara, piroteknik, kesan khas dan dynamic inflatubes.
Sehingga kini tiada kecederaan dialami pekerjanya dan penonton semasa menganjurkan persembahan.
Ia juga syarikat tunggal yang memiliki lesen bunga api bukan ketenteraan di negara ini. Sebagai langkah keselamatan, stok bahan api itu disimpan sebuah gudang khas di Semenyih, Selangor.
Sejak ditubuhkan, mereka telah menganjurkan ratusan acara sama ada di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa. Ini termasuk pada Hari Kemerdekaan setiap tahun, Sukan SEA Ke-21 di Kuala Lumpur malah Hari Kebangsaan China.
Bagi Sulen dia mempunyai kisah menarik semasa kecil tentang bunga api. Dia telah menyebabkan lori jirannya terbakar!
"Ketika berumur tujuh tahun, saya terlempar bunga api ke sebuah lori milik jiran hingga menyebabkannya terbakar. Mungkin kerana terlalu seronok bermain bunga api.
| CERMAT. Persiapan menjelang persembahan memerlukan setiap bahan letupan diurus dengan baik.
|
"Kecoh juga pada masa itu kerana saya tinggal di flat. Ramai yang menyangka ada kejadian orang mengamuk," kenangnya.
Menurut Sulen, seorang pemain bunga api perlu menguasai irama lagu untuk persembahan yang baik.
"Memang pelik! Saya dengar lagu mungkin lebih daripada peminat fanatik artis (ketawa).
Itu penting kerana pertunjukan bunga api dengan iringan muzik lebih menyakinkan.
"Setiap persembahan bunga api mengambil masa antara 20 hingga 30 minit.
"Setiap saat dan minit amat berharga kerana persembahan bunga api yang baik perlu diselarikan dengan emosi lagu yang sesuai," katanya.
Menariknya pasukan negara untuk MIFC 2008 terdiri daripada golongan muda berusia kurang 30 tahun berbanding pasukan negara lain yang rata-rata ahlinya berusia 40 hingga 50 tahun ke atas.
Pasukan Sulen turut diwakili Jeffry Bahary, 26; Shafuan Shafie, 22; Shiran Shafie, 20; Chen Chee Kean, 24; dan Aden Paul, 33.
"Kami dikelilingi bahan mudah terbakar. Ia seperti di medan perang. Kesilapan kecil sahaja boleh mengundang bencana.
"Bayangkan sebuah lori berisi bunga api jika meletup kesannya boleh menjangkau empat kilometer," katanya.
Sulen turut menceritakan teknologi FireOne telah memudahkan beliau untuk menghasilkan persembahan bunga api yang menarik.
"Sama seperti perisian lain. Ia menentukan saiz kawasan yang kita perlukan, susunan bunga api, serta masa pelancaran.
"Satu sentuhan pada butang khas anda akan lihat keajaiban corak dan persembahan bunga api," katanya.
Pyro-Spelendour mempunyai empat buah syarikat di China untuk menghasilkan bunga api. Mereka turut berbangga dapat mencipta bunga api berbentuk bunga raya iaitu bunga kebangsaan Malaysia.
Sulen turut menceritakan pengalaman menarik semasa menyertai pertandingan di Vietnam.
"Ke mana-mana sahaja kami pergi akan diekori oleh pasukan polis negara itu malah penduduk kampung. Macam orang kenamaan pula.
"Namun setelah berbicara dengan ketua kampung di situ, mereka anggap pasukan bunga api ini seperti kumpulan pakar bom," katanya ketawa.
[ Last edited by amazed at 4-9-2008 09:11 PM ] |
|
|
|
|
|
|
|
Sampai ke Disneyland
Oleh SUBASHINI RAJANDRA
DUA hari sebelum majlis penutupan Pertandingan Bunga Api Antarabangsa 2008 (MIFC), segala persiapan berjalan dengan lancar. Meskipun dilaporkan kesuntukan masa dan cuaca tidak begitu mengizinkan, namun juara pertandingan MIFC 2007, Australia, tangkas menyusun dan memeriksa keadaan tempurung bunga api dan mortar di tapak pelancaran.
Terletak di bawah Jambatan Seri Gemilang, Putrajaya, ahli pasukan dari Australia iaitu Stuart Bensley, JustineDukes dan Rusty Johnson sibuk memunggah hampir 4,000 unit bahan bunga api. Turut menghulurkan bantuan ialah rakan kerjasama dari Global 2000 selaku penganjur rasmi MIFC 2008.
Dengan pengawasan keselamatan yang ketat, kerja-kerja penambakan pasir di sekitar mortar dilakukan dengan rapi agar tidak meletup atau 'terbang' semasa dilancarkan nanti. Bahagian mulut mortar yang bersaiz tiga, empat, lima, enam dan lapan inci juga ditutup rapat dengan kertas aluminium supaya tidak dimasuki air.
"Alat pelancar ini perlu diawasi dan dipastikan berada dalam keadaan selamat. Kita tidak boleh mengambil risiko termasuk sebarang gangguan atau masalah teknikal semasa pelancaran bunga api," kata Joe Ghazzal, penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Global 2000 ketika ditemui Kosmo!.
| PASUKAN Australia tidak mempertahankan kejuaraan tetapi hadir bagi memeriahkan persembahan penutup.
|
Bagi pasukan Australia yang bernaung di bawah syarikat Howard and Sons Pyrotechnics Pty. Ltd., pengalaman luas dalam bidang penghasilan bunga api boleh dijejaki sehingga awal tahun 1922. Moyang Howard terkenal dengan kepakaran membina dan menghasilkan bunga api seperti Roman Candles, Mines, Fountain dan Aerial Shells.
"Rekaan dan pembuatan kami menerima permintaan yang tinggi dan pernah dipertontonkan pada pembukaan Sydney Harbour Bridge pada tahun 1932, lawatan keluarga Diraja di Australia dan New Zealand dan perayaan Australia yang lain," ujar Bensley yang menambah mereka gemar menggunakan warna-warna pelangi.
PERSEMBAHAN bunga api Australia di MIFC 2008.
Bergantung sepenuhnya kepada sistem pelancaran pengkomputeran Fireone Digital Firing, Howard and Sons Pyrotechnics berbangga dengan keunikan kemahiran yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Ini dapat disaksikan pada rekaan dan pembuatan piroteknik yang menggabungkan sistem pelancaran pengkomputeran berintegrasi sinaran laser, skrin air, bunyi dan projeksi.
"Di samping memenuhi jemputan persembahan dan acara di negara-negara luar, penubuhan kilang pembuatan bunga api yang berkualiti di Sydney pada tahun 1960-an melayakkan syarikat kami diberi kontrak membekalkan stok kepada Disneyland dan Disneyworld di Amerika Syarikat."
"Dalam erti kata lain, mereka adalah pengguna harian bunga api terbesar di dunia," sambungnya.
LANGIT Putrajaya bermandikan percikan bunga api
yang menarik selama 25 minit.
Beliau turut menyenaraikan penglibatannya dalam Visit Malaysia Year Watersky Spectacular 2007, Sukan Komanwel Melbourne 2006, perayaan Bunga Api Macau dan Shanghai, Piala Dunia Ragbi dan banyak lagi.
Pada tahun lalu, syarikat ini yang mewakili Australia memenangi trofi Emas Merdeka MIFC 2007 dengan persembahan tema bunga api Aurora Australie.
Tahun ini, pasukan Australia tidak mempertahankan kejuaraan, tetapi tetap hadir sebagai pasukan untuk memeriahkan persembahan penutup.
Sebagaimana setiap penglibatannya melahirkan pengalaman yang berinspirasi, MIFC 2008 dilihat sebagai sebuah platform terbaik bagi memperkukuhkan reputasinya. Tambahan pula, perkongsian 'pentas udara' dengan syarikat tempatan, Global 2000 membuka ruang bagi penyediaan gubahan bunga api yang lebih kreatif.
Hasilnya, satu permuafakatan dicapai dengan menggalas tema yang bertajuk 'Warna-Warni Malaysia'. Gaya hidup penduduk Malaysia digambarkan dengan menyelusuri bangunan pencakar langit terkemuka, Menara Berkembar Petronas diikuti dengan suasana di pasar malam, pantai berpasir putih dan kekayaan hutan hujan tropika yang mengembalikan sifat semula jadi.
Dari musim tengkujuh kepada kesunyian langit pada waktu malam, dari matahari terbit hinggalah kelahiran sebuah hari yang indah, Joe berkata, persembahan bunga api yang penuh sensasi ini tidak menghampakan sesiapa, tidak kira tua atau muda.
Selama lebih dua minggu, para peserta MIFC 2008 menggegarkan dan menerangi langit Putrajaya dengan persembahan bunga api yang indah. Sebelum melabuhkan tirai mengakhiri pesta gilang-gemilang ini, pasukan Australia telah diberi penghormatan untuk menampilkan kehebatannya bersama Global2000.
Justeru itu, pada malam 29 Ogos yang lalu, langit Putrajaya bermandikan percikan bunga api yang menarik selama 25 minit tanpa henti. Skil kedua-dua pihak dinilai dan dihargai dengan iringan sorakan dan tepukan gemuruh para hadirin.
Program kemuncak yang dinanti-nantikan itu dimeriahkan dengan kepelbagaian dendangan muzik atau dikenali sebagai penyelarasan piro muzik. Dipopularkan pada abad ke-18, piro muzik pada majlis penutupan MIFC 2008 mendengarkan alunan muzik dari latar lagu Inggeris dan tempatan.
Seleksi tempatan ialah 'Mentara Semerah Padi' dendangan M.Nasir, 'Hati Kama' daripada Siti Nurhaliza dan Norazlina Idris dan 'Cindai' oleh Siti Nurhaliza. Ia membuatkan pengunjung terpukau dan terpegun mendongak kepala merenungi hiasan bunga api yang artistik memercik di ruang udara.
"Tanggungjawab ini bukanlah mudah kerana ia harus menampilkan ciri-ciri dan identiti Malaysia dan rakyatnya. Sudah tentu kami berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi sesuatu yang akan bersemadi di ingatan mereka," ujar Joe yang menambah pelancaran bunga api dikawal seperti seorang konduktor orkestra dari atas jambatan menggunakan sistem pengkomputeran. |
|
|
|
|
|
|
|
Bunga api berirama
TUGAS seorang piroteknik dikatakan amat mencabar
kerana individu ini bertindak sebagai pereka inovatif.
PADA 12 Ogos lalu, Malaysia membuat persembahan dengan membawa tema Malam Seribu Bintang. Pada 16 Ogos pula, pasukan China beraksi dengan tema The story of Cowherd and Weaver Girl diikuti dengan Kanada yang mempertaruhkan tema Music from the Stage and the Silver Screen, empat hari kemudian.
Akhir sekali, pada 24 Ogos lalu, tema Alegria ditampilkan oleh Sepanyol. Sekurang-kurangnya, dua buah persembahan bunga api diadakan dalam seminggu.
Seperti yang ditetapkan, setiap pasukan yang terdiri daripada empat orang ahli, diberi tempoh tiga hari untuk menyiapkan kerja-kerja pelancaran bunga api. Pasukan-pasukan ini juga diwajibkan membuat persembahan antara 20 hingga 25 minit.
Bagi menampung jangka masa tersebut, jumlah tempurung bunga api dan mortar yang digunakan melebihi 3,000 hingga 4,000 unit. Ini tidak merangkumi bilangan pelancaran bunga apisolo atau sulung.
Sementara itu, dalam satu-satu persembahan bunga api piro muzik, tugas seorang piroteknik dikatakan amat mencabar kerana individu ini bertindak sebagai pereka inovatif.
" Pereka ini akan merujuk kepada muzik sebagai titik permulaan persembahan bunga api sekali gus menjadi nadi penggerak kepada maksud yang ingin disampaikan melalui ritma."
| JOE GHAZZAL
|
" Pada masa yang sama, mereka harus mengambil kira faktor kiraan masa iaitu mulai detik tempurung bunga api dilancarkan ke udara hinggalah kiraan masa ia meletus mengeluarkan cahaya," kata Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Global 2000, Joe Ghazzal secara terperinci.
Untuk mendapatkan ketepatan yang tinggi, proses pengaturan dan penyelenggaraan persembahan bunga api memakan masa berbulan-bulan. Kerap kali ia menimbulkan kesulitan semasa menghasilkan produksi yang konsisten antara letusan bunga api, cahaya dan muzik. Perancangan ini sahaja belum melibatkan seleksi muzik berulang kali, kajian dan penyelidikan ke atas jenis bunga api yang sesuai dan ketelitian rumusan pembinaan.
Deric Tham, Pengarah syarikat Pyro-Splendour Services Sdn. Bhd. selaku wakil Malaysia di MIFC 2008 berkata, pihaknya mengambil masa yang lama untuk mencari formula.
"Taktik melumpuhkan pasukan lawan termaktub dalam formula ini dan ia tidaklah sesenang yang dijangkakan. Kami terpaksa memerah otak dan gigih mencari ilham," ujarnya yang menimba kemahiran dari Amerika Syarikat, Australia dan Itali.
Kini, Pyro-Splendour yang ditubuhkan pada tahun 1993 mengeksport bunga api buatannya dari negara China ke Jerman, Britain dan Kanada. Dengan status syarikat tunggal bukan ketenteraan yang mempunyai lesen menyimpan bunga api di Semenyih, Selangor, tidak hairanlah Pyro-Splendour dihampiri bagi meraikan sambutan Citra Warna Malaysia 2008, Sukan SEA Kuala Lumpur ke-21, Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Danang 2008, Vietnam dan lain-lain.
| UNTUK mendapatkan ketepatan yang tinggi, proses pengaturan dan penyelenggaraan persembahan bunga api memakan masa berbulan-bulan.
|
Pasukan China, Sepanyol dan Kanada menonjolkan kemajuan yang lebih tinggi memandangkan tahap apresiasinya bermula lebih awal lagi beserta dengan jumlah pengiktirafan dan anugerah yang diterima.
Seperti yang sedia maklum, MIFC 2008 diungguli oleh pasukan Sepanyol yang mengutip markah sebanyak 337 lalu membawa pulang trofi Emas Merdeka.
Malaysia mendapat tempat kedua dengan pungutan 306 mata dan menerima trofi Perak Merdeka. Anugerah khas seperti Anugerah Persembahan Terbaik juga jatuh kepada Malaysia dan China dengan Anugerah Tema Inovatif Terbaik.
Para juri terdiri daripada ketua pasukan, Joe Ghazzal dari Global 2000; Pengarah Pemasaran dan Jualan Wilson Sporting Goods, Paul Gibbons; Pengarah Kreatif Eclipse International, Sonny Son; Pengasas Kumpulan Salun dan Akademi A Cut Above, Winnie Loo dan wartawan serta penulis antarabangsa, Kee Hua Chee.
Pertandingan persembahan bunga api ini diukur berasaskan kepada kriteria keaslian konsep, struktur dan skala persembahan, pemilihan variasi warna, ketulenan pembuatan bunga api, kualiti keseragaman di antara permainan muzik dan efek letusan bunga api serta pengadaptasian dengan mood.
Untuk tahun-tahun akan datang, Joe bercadang membawa lebih banyak negara dari pelosok dunia menyertai acara ini. - SUBASHINI RAJANDRA |
|
|
|
|
|
|
|
sayang aku x dapat tengok masa pertandingan tuh!!! |
|
|
|
|
|
|
| |
|