|
KUALA LUMPUR 12 Sept. - Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) akan memperkenalkan perkhidmatan bas baru yang dikenali sebagai 'Perkhidmatan Bas Fajar' mulai Isnin ini.
Sesuai dengan namanya, perkhidmatan bas yang dilaksanakan secara percubaan itu akan bermula seawal pukul 5.10 pagi di beberapa laluan tertentu.
Pengurus Besar Komunikasi RapidKL, Ebi Azly Abdullah berkata, perkhidmatan bas khas itu adalah untuk memberi kemudahan kepada penumpang yang ingin memulakan perjalanan awal bagi mengelakkan kesesakan.
"Perkhidmatan ini akan dijalankan secara percubaan untuk mengenal pasti permintaan. Sekiranya sambutan yang diterima menggalakkan, RapidKL akan mengekalkan perkhidmatan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pengguna boleh menghubungi RapidKL di talian 03-76256999 atau layari laman web www.rapidkl.com.my untuk maklumat lanjut, pertanyaan atau memberikan maklum balas. |
|