Timur: Tasik Chini makin terancam
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani [email protected]
KEINDAHAN Tasik Chini mampu gamit pelancong.
Pembangunan hutan, tumbuhan ekor kucing ganggu ekosistem
PEKAN: Ketenangan dan kedamaian Tasik Chini, di sini, tidak boleh dipisahkan dengan keindahan ribuan kuntuman teratai yang mekar memenuhi permukaan tasik selain cerita legenda 'Naga Tasik Chini' yang penuh misteri, sekali gus mempopularkan tasik semula jadi kedua terbesar di negara ini selepas Tasik Bera.
Bagaimanapun, keindahan dan keunikan alam semula jadinya didakwa semakin terhakis berbanding 40 tahun lalu, kesan daripada projek pembangunan dan pembersihan kawasan hutan di sekelilingnya bagi tujuan pertanian, perladangan dan pembinaan chalet berhampiran tasik berkenaan.
Selain itu, kehadiran spesies tumbuhan lumut dikenali sebagai 'ekor kucing' turut mengganggu ekosistem kawasan paya air tawar kedua terbesar di Malaysia itu.
Berita Harian difahamkan, warna air di tasik itu juga semakin keruh terutama sekali apabila tiba musim hujan kerana limpahan air dari Sungai Pahang melalui Empangan Kuala Chini itu mengubah kejernihan air tasik berkenaan.
Difahamkan, limpahan air Sungai Pahang berkenaan akan membawa bersama tumbuhan ekor kucing ke dalam kawasan tasik dan menutupi pokok teratai sehingga menghalang bunga berkenaan daripada terus hidup.
BANGUNAN Resort Chini sedang dinaik taraf untuk memberi lebih keselesaan kepada pengunjung di Tasik Chini.
Justeru, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dalam ucapannya sempena Forum Antarabangsa Pengurusan Tasik Chini baru-baru ini berkata, beberapa agensi pelancongan seperti Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) akan digabungkan bagi memudahkan pelaksanaan pelbagai rancangan mengekalkan warisan semula jadi di negeri ini, termasuk pemuliharaan Tasik Chini secara berterusan.
Penghulu Mukim Penyor 1, Mohamad Bakri Abu Talib, 48, berharap langkah itu dipercepatkan bagi memastikan usaha memulihara tasik berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
"Ini kerana khazanah alam semula jadi seperti ribuan bunga teratai adalah antara faktor yang menyebabkan pelancong asing dan tempatan suka mengunjungi tasik ini. Kita harap kerajaan negeri memberi perhatian dengan mengawal dan memantau secara berterusan," katanya ketika ditemui di sini.
Beliau juga berharap kajian oleh Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak lima tahun lalu dapat memberi kesan positif bagi membantu memulihkan semula keindahan dan kawasan persekitaran tasik itu.
"Baru-baru ini, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Duri mengambil inisiatif menanam 1,500 pokok teratai di Tanjung Puput manakala JKKK Kampung Baru turut mengadakan gotong-royong membersihkan tumbuhan ekor kucing yang boleh mengancam pembiakan bunga teratai," katanya sambil menegaskan aktiviti menangkap ikan oleh Orang Asli bukan ancaman yang menjejaskan keindahan Tasik Chini sebaliknya sebahagian daripada kitaran semula jadi yang berlaku di situ
Beliau berkata, faktor semula jadi seperti ketibaan musim tengkujuh dan aliran air Sungai Pahang yang memasuki ke tasik itu turut menentukan populasi hidupan marin, termasuk ikan air tawar yang menjadi buruan pemancing seperti ikan loba, kelabau, kalui dan toman.
Sementara itu, pemandu pelancong, Halman Ahmad, 29, yakin panorama semula jadi di seluruh kawasan tasik berkenaan dapat dipulihara menerusi kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat tempatan dan kerajaan negeri.
Beliau berkata, khazanah semula jadi itu perlu terus dipulihara dan dipelihara sebagai 'tatapan' generasi masa depan sebelum musnah 'ditelan' zaman,
Pengurus Dina Tiara Sdn Bhd yang mengendalikan Resort Tasik Chini, Mohd Azizan Ibrahim, berkata kedatangan pelancong masih seperti biasa dan jumlah kehadiran bertambah pada hujung minggu serta musim cuti persekolahan.
"Bagaimanapun, pelancong luar yang ingin tinggal lebih lama di sini perlu mencari alternatif lain untuk menginap kerana chalet sedia ada ditutup sementara untuk kerja menaik taraf.
"Kita akan maklumkan kepada mereka sama ada untuk menginap di Homestay Kampung Salong yang terletak kira-kira lima kilometer dari sini atau ke bandar Pekan," katanya sambil menambah kerja menaik taraf chalet itu dijangka siap awal tahun depan.
Katanya, sebanyak 18 bilik, lima unit blok asrama dan dewan mesyuarat dilengkapi sistem audio visual sedang dibina menggantikan chalet lama yang diperbuat daripada kayu dan tidak lagi boleh digunakan.
"Kita yakin jumlah pengunjung tasik akan bertambah terutama pelancong asing yang gemar menikmati keindahan dan kehidupan semula jadi di kawasan persekitaran tasik.
"Setakat ini tiada pelancong asing yang merungut dan mengadu mengenai keadaan di tasik ini. Mereka sentiasa mengagumi keindahan persekitaran semula jadi yang ada di negara kita, walaupun sebelum ini ada pihak yang menyebarkan berita kononnya air di Tasik Chini keruh dan banyak bunga teratai mati," katanya.
Penduduk Orang Asli turut terancam hilang sumber makanan
Tasik Chini di Pahang yang diiktiraf sebagai kawasa n Rizab Biosfera oleh Per tubu ha n Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bakal musnah pada 2030 akibat kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan tidak terkawal di sekitarnya.
Tasik Chini akan lenyap?sebelum lenyap,baik aku pi tengok2,jalan2...