CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

123
Return to list New
Author: Syd

[NFO]Mitos, Lagenda & Sejarah @ Nogoghi Sembilan

[Copy link]
Post time 25-11-2009 01:19 AM | Show all posts
den dlu ponah skola podeh..sapo taw asal usul namo podeh..
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-1-2010 12:24 PM | Show all posts
Tragedi Gemencheh bukan baru

Pembunuhan kejam empat sekeluarga menggemparkan negara.





"SAYA buat kerana ia perintah daripada kuasa agung. Mereka adalah syaitan-syaitan yang menyamar."

Itulah kononnya kata-kata Rashidi Ismail, 34, kepada pihak polis mengenai tindakannya menyembelih bapanya, Ismail Awang, 76, serta mengerat jari adiknya, Siti Khadijah Ismail, 22, dalam kejadian bunuh melibatkan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan, Selasa lalu.

Dalam tragedi yang disifatkan sangat kejam itu, bekas imam kampung yang juga datuk suspek, Atan Daud, 90, dan isterinya, Sufiah Keatas, 80, turut maut dibunuh.

Atan ditemui dengan tangan kiri terputus, Sufiah putus tangan kanan, Ismail hilang kepala manakala Siti Khadijah terbaring kaku dengan pisau tercacak di dada.

Suspek kemudian membawa kepala bapanya dari Tampin ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sejauh 120 kilometer sebelum ditanam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

"Masih sukar untuk dilupakan. Setiap kali mahu lelapkan mata, pasti terbayang-bayang wajah orang-orang yang saya sayangi itu menemui ajal dalam keadaan yang menyedihkan," luah Siti Mariam Ismail, 19, orang pertama menemui empat mayat ahli keluarganya itu sekembalinya dari sekolah kira-kira pukul 3.30 petang.


DI lantai rumah ini, Mariam menemui mayat datuk, nenek dan bapanya yang terbujur kaku.

Menurut Mariam, kebiasaannya Ismail akan menjemputnya dengan motosikal di jalan besar. Namun, pada hari kejadian, kelibat bapanya tidak kelihatan dan dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumah.

"Sampai saja di rumah, saya panggil kakak, tapi dia tak jawab. Pelik juga sebab biasanya dia akan sambut saya pulang. Bila saya buka pintu, saya nampak kakak terbaring di lantai dengan pisau terpacak di dadanya.

"Saya berlari ke rumah datuk dan nenek yang terletak berdekatan. Malangnya, di sana saya menemui pula datuk, nenek dan ayah terbujur kaku di lantai rumah," katanya yang masih trauma dan murung akibat kejadian itu.

Kasih ibu

Bagi Zaharah Atan, 59, peristiwa itu adalah tragedi paling besar dalam hidupnya. Beliau yang kematian suami, ibu, bapa serta anak perempuan turut diuji apabila suspek utama, Rashidi juga merupakan anaknya.

"Semasa kejadian, saya keluar bekerja di kilang ayam tidak jauh dari sini. Lebih kurang pukul 4.50 petang, ada jiran datang ke kilang dan menjemput saya pulang.

"Bila saya tanya kenapa, dia kata sabarlah. Bila sampai di rumah, saya nampak orang ramai dan kereta polis.

"Saya ingat ada pokok tumbang menghempap rumah. Disebabkan saya tak dibenarkan masuk ke rumah, saya duduklah di kebun getah," cerita beliau.


ZAHARAH reda tragedi yang menimpa keluarganya.

Apabila Mariam datang, Zaharah bertanya kenapa tetapi Mariam hanya menggelengkan kepala. Mariam pula menjawab 'ada' bila ditanya di mana kakaknya, Siti Khadijah.

Zaharah bertanya lagi, balik sekolah tadi naik apa? Mariam hanya kata jalan kaki dan tidak tahu kenapa bapanya tidak datang menjemput seperti biasa.

"Saya mula rasa sesuatu yang buruk telah berlaku. Setengah jam selepas itu, baru saya dapat tahu, suami, anak, ibu dan bapanya mati dibunuh," beritahu Zaharah kepada Jurnal.

Pada awalnya, Zaharah tidak percaya apabila Rashidi dikaitkan sebagai suspek utama sementelah dia disifatkan sebagai anak yang baik.

"Dia anak saya yang terbaik dalam pelajaran. Tak pernah dia tinggi suara, membentak atau bertempik dengan orang tua. Dengan adik-beradik pun dia tak macam itu," kata Zaharah.

Digambarkan sebagai anak yang soleh, Rashidi yang juga bekas pegawai bank itu sentiasa tersenyum.

Tidak pernah menyusahkan ibu bapa, Rashidi yang mendapat pendidikan sekolah agama juga amat disenangi oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya.


LOKASI pembunuhan empat mangsa di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan Selasa lalu.

"Kalau diikutkan perangai Rashidi yang saya kenal, dia bukan panas baran orangnya. Saya dapat rasakan ada sesuatu yang mendorong dia buat begitu.

"Begitupun, saya reda dengan apa yang telah terjadi. Kalau ditakdirkan anak saya itu bersalah dan dihukum gantung, saya terima.

"Kalau dia disahkan sakit jiwa pun, saya masih terima dia sebagai anak.

"Saya memang marah dan terkilan, tapi itu tidak akan buang perasaan sayang saya pada dia," tuturnya yang sempat mencium pipi Rashidi semasa anaknya itu dibawa ke lokasi pembunuhan.

Bukan kes pertama

Menyelusuri misteri di sebalik kejadian ini, belum ada petunjuk kukuh yang dapat merungkainya.

Ada yang mengatakan ia berpunca daripada tekanan, sakit jiwa dan tidak kurang yang mengaitkannya dengan ilmu hitam.

Apa pun, kejadian yang menimpa keluarga Zaharah bukan kes pembunuhan beramai-ramai sebuah keluarga yang pertama dilaporkan di negara ini.

Pada Jun 1998, empat sekeluarga mati dibunuh kejam di Kampung Parit Hussin, Lubuk Sipat, Benut, Pontian, Johor.

Empat sekeluarga malang itu ditemui mati dalam keadaan ngeri dan berulat oleh seorang ahli keluarga mereka pada 10 Jun. Mereka dipercayai dibunuh tiga hari sebelum itu.


MARIAM masih trauma selepas melihat ahli keluarganya dibunuh kejam.

Dalam kejadian yang berlaku di antara pukul 7 petang dan 10 malam itu, mangsa-mangsa yang terlibat ialah Ridlian Mansor, 55, isterinya Rosnah Asari, 44, dan anaknya iaitu Hamsah, 20, dan Mohd. Azizul, lapan tahun.

Mayat Ridlian, Rosnah dan Mohd. Azizul yang mempunyai kesan tetakan di kepala, leher dan dada ditemui di sebuah bilik dalam keadaan bertindih antara satu sama lain.

Mayat Hamsah, gadis yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 5 Julai pula dijumpai dalam keadaan separuh bogel. Pada lehernya terdapat kesan jerutan dan mulutnya disumbat tuala.

Ekoran kejadian itu, seorang pemandu lori yang juga menantu keluarga itu, Khasiran Jamari, 27, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas tuduhan membunuh. Dia kemudian didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Selain itu, kes tujuh orang termasuk lima wanita daripada sebuah keluarga dibunuh dalam keadaan ngeri, dipercayai diserang oleh sekumpulan pembunuh di rumah mereka di Taman Johor Jaya, Johor Bahru di antara pukul 1.41 pagi hingga 7.43 pagi, 28 Julai 2001.

Mangsa yang terlibat ialah K. Mangala Gowri, 42, S. Muniandi, 71, B. Vasagi, 27, S. Suppiah Amuaavalli, 44, S. Perumal, 49, S. Letchimee, 51 dan S. Ramaiee, 64.

Pakar forensik mengesahkan punca kematian semua mangsa adalah kerana luka yang teruk di leher akibat tetakan dengan senjata tajam.

Ekoran insiden itu, Md Masud Rana, 32, bekas pekerja kilang dan rakannya yang juga berasal dari Jugdumpur, Bangladesh, Razaul Karim Md Soleman Ali Fakiruddin, 37, dituduh membunuh.

Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, pembunuhan berkumpulan yang melibatkan lebih daripada dua mangsa bukan kes baru. Malah ia sudah lama berada dalam landskap jenayah negara.

Jelasnya, wujud dua faktor yang mendorong suspek bertindak di luar kawalan sehingga berupaya membunuh dengan cara yang kejam.


RASHIDI dianggap anak yang baik oleh ibunya.

"Kemarahan yang luar biasa dan gangguan jiwa mampu mempengaruhi penjenayah untuk melakukan sesuatu di luar kewarasan mindanya.

"Walaupun pakar psikiatri menolak gangguan jiwa sebagai penyakit namun dari segi kriminalogi, ia tidak boleh dijadikan satu bentuk justifikasi yang menghalalkan golongan pesakit jiwa melakukan jenayah," ujarnya.

Mengulas senario pembunuhan melibatkan lebih daripada dua mangsa, Kamal berpendapat ia merupakan pembunuhan berkumpulan, bukannya pembunuhan beramai-ramai.

"Pembunuhan berkumpulan boleh ditakrifkan sebagai pembunuhan lebih daripada dua mangsa yang mempunyai pertalian antara mereka.

"Mangsa juga dibunuh dengan lebih tragis, sebagai contoh, kes pembunuhan empat sekeluarga di Gemencheh baru-baru ini," katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2010 11:37 AM | Show all posts
Marah jika langgar pantang

Ada kira-kira 3,000 ekor buaya di Sungai Linggi yang terkenal dengan keindahan dan udang galahnya.




PENGALAMAN diusik dan diserang seekor 'buaya hijau' di Sungai Timun, Linggi, Negeri Sembilan, tidak dapat dilupakan Aziz Salim, 55.

Aziz sudah mula menyusur sungai itu untuk menangkap ikan dan udang galah sejak usia belasan tahun tetapi hanya pada tahun lalu, ada buaya berani mengacahnya. Bukan sekali, tetapi dua kali beliau bertembung dengan reptilia ganas itu.

Kali pertama, buaya itu tersangkut di jalanya ketika beliau sedang asyik menjala udang galah. Menyangkakan ia rentapan beberapa ekor ikan siakap, Aziz mula tersenyum lebar.


KAUM wanita juga tidak ketinggalan memancing udang dari tebing sungai.

"Bila saya tarik jala, buaya sudah berdiri hingga paras lutut saya. Mungkin disebabkan terlalu terkejut, saya tampar kepalanya dan melepaskan jala.

"Tiga bulan kemudian, ketika turun menjala udang, perahu saya disondol buaya yang sama. Kali ini penangannya lebih dahsyat, agaknya 'dia' geram sebab kena tampar dulu," selorohnya.

Melihat buaya itu semakin agresif, Aziz bertindak memukul haiwan itu hingga pendayung kayu yang digunakan patah dua.

"Mungkin marah dengan tindakan saya, buaya itu membuka mulut seluas-luasnya manakala ekornya yang panjang itu dilibaskan ke badan perahu.

"Saya tujah kepalanya dengan hujung pendayung, dengan niat mahu menakutkannya namun ia bertindak lebih ganas. Perahu saya disondol kuat hingga saya terjatuh ke dalam sungai.


SELAIN udang, lokan juga mudah ditemui di kawasan paya bakau sepanjang sungai ini.

"Ketika berada di dalam air, posisi saya seperti sedang duduk di atas kerusi dengan kaki yang terbuka. Pelik dengan keadaan itu, saya pandang ke bawah.

KATA nelayan di Sungai Timun, jika ada banyak udang, mungkin ada buaya di dasar sungai.

"Rupa-rupanya saya duduk di atas tengkuk buaya yang menyerang tadi. Tanpa buang masa, saya tekapkan kepala buaya itu ke dasar sungai dan terus berenang naik ke permukaan. Ketika itu dapat rasa ada buaya sedang bergerak di sebelah saya.

"Masa itu tiada perasaan takut. Perasaan marah diganggu lebih menguasai diri. Apabila sampai di tebing, baru terfikir, bagaimana kalau buaya tadi baham saya," ujarnya.

Hanyut ke pantai

Walaupun pernah berdepan dengan ancaman buaya di Sungai Timun, anak tempatan itu tidak pernah serik untuk turun ke sungai.

"Pengalaman itu tidak mematahkan semangat saya untuk turun ke sungai. Buaya sudah sebati dengan sungai ini," ujar nelayan Sungai Timun yang terkenal sebagai lubuk udang galah ini.


Baru-baru ini, seorang posmen, Mohamad Helme Leman, 25, dari Kampung Air Limau, Masjid Tanah, Melaka terpaksa menerima 50 jahitan selepas mendakwa diserang hidupan laut dipercayai seekor buaya ketika mandi di pantai Port Dickson, 2 Januari lalu.

Pensyarah Institut Oseanografi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Sulung Ibrahim berkata, kehadiran buaya tembaga di kawasan pantai boleh terjadi.

"Walaupun buaya dari muara Sungai Linggi mungkin tidak dapat hanyut ke Port Dickson kerana kedudukannya yang jauh, tidak mustahil jika ia datang dari sungai-sungai kecil berhampiran," jelasnya.

Buaya bukan khazanah baru di Sungai Timun dan Sungai Linggi. Menurut Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Ishak Muhamad, jumlah buaya di situ mencecah ribuan ekor.

"Berdasarkan perkiraan, pemantauan dan beberapa langkah lain yang dijalankan, dianggarkan lebih kurang 3,000 ekor buaya mendiami dua batang sungai ini," ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Istimewanya buaya di sungai ini, ia tidak akan makan bangkai. Menurut Aziz Salim, buaya Sungai Timun dan Sungai Linggi hanya akan makan makanan yang dicarinya sendiri.

"Bukan tak pernah ada bangkai ayam, lembu atau kambing yang hanyut ke sini bila banjir, tapi buaya tak akan usik," jelasnya.

Menurut legenda yang menjadi buah mulut penduduk kampung di sepanjang sungai ini, kewujudan reptilia ini dikatakan berpunca daripada mitos kembar buaya yang terjadi di kawasan itu pada zaman dahulu.

Kembar buaya

"Seorang perempuan telah melahirkan anak kembar lelaki. Anak pertama yang dilahirkan adalah buaya dan adiknya manusia. Yang buaya telah dilepaskan ke sungai manakala pasangannya dipelihara seperti orang biasa.


AZIZ dua kali diusik buaya yang sama tahun lalu.

"Pada hari-hari tertentu jika di ibu atau si adik ingin berjumpa dengan buaya tersebut, mereka akan pergi ke beting pasir sambil membaca ayat tertentu sebelum menyeru nama si abang.

"Sejak itu, sungai ini mula dikunjungi kawanan buaya dan ia berkembang biak sehingga kini," cerita beliau.


Ada juga pendapat yang mengatakan buaya di sungai ini ada kaitan dengan jin. Namun, kesahihan mengenai kaitan haiwan ini dengan alam ghaib tidak dapat dipastikan.

"Ada orang-orang lama yang mengatakan semua buaya ini mempunyai gembala dan ketua.

"Malah ada beberapa penduduk pernah melihat buaya putih beberapa kali meranduk sungai ini. Ia turut dikatakan pendamping makam Tok Putih.

"Sama ada buaya tersebut merupakan gembala buaya di sini atau tidak, itu saya kurang pasti," kata Ketua Kampung Sungai Timun, Yahaya Othman.

Tegasnya lagi, terdapat beberapa pantang yang perlu dipatuhi khususnya orang luar yang datang untuk memancing udang galah.

"Buaya di sini cukup pantang jika telur ayam rebus dibawa ke sungai, pasti akan ada yang tidak kena. Selain itu, untuk memastikan keharmonian sungai, jangan sekali-kali membasuh kelambu di sungai.

"Jika mahu turun menjala udang, perlu diingat, jangan gunakan pancang umpan daripada pucuk nipah.

"Periuk belanga dan pinggan mangkuk juga dilarang dicuci di dalam sungai manakala jika membasuh kain, jangan menghempas kain basuhan ke batu. Nanti buaya akan marah," jelas Yahaya lagi.

Berjemur

Walaupun tidak dapat diterangkan dengan jelas akibat melanggar pantang larang ini, Jurnal dimaklumkan ia akan membawa kepada perkara yang tidak baik, bukan sahaja kepada yang melanggar pantang bahkan semua nelayan.

Bagaimanapun, buaya-buaya ini tidak akan mengganggu manusia sebaliknya ia akan segera beredar sekiranya mengetahui pergerakannya diperhatikan.

Malah, buaya-buaya di Sungai Timun dan Sungai Linggi ini juga menjadi tarikan utama kepada pelancong. Jika bernasib baik, anda akan dapat melihat buaya berjemur di atas beting pasir terutama pada waktu petang dan melihat matanya yang merah bersinar di dalam air pada sebelah malam.

"Buaya di sini memang ganas, tetapi belum ada yang menyerang pelancong. Ibarat jika kita tidak kacau dia, dia tidak akan kacau kita," itu jaminan yang diberikan nelayan yang juga pemandu perahu berpengalaman, Osman Ali, ketika membawa krew Jurnal menyusuri laluan air sepanjang 15 kilometer dari Pangkalan Nelayan Sungai Timun hingga muara Sungai Linggi.

Selain beting pasir, perdu pohon nipah dan pepohon bakau di sepanjang laluan ini turut menjadi lokasi sang buaya berehat.

Mula memasuki Sungai Linggi ketika air laut mulai pasang pada pukul 5.30 petang, ketenangan kawasan itu menjadi kelam-kabut secara tiba-tiba. Kawanan kera mula riuh menuju ke pucuk pokok, si memerang dan anjing segera melarikan diri dan bangau putih terbang menjauhi gigi air.

Semuanya berlaku dalam tempoh tidak sampai 10 saat. Kawasan yang tadi menjadi tempat permainan beberapa jenis haiwan bertukar lengang.

Tidak lama kemudian, muncul kelibat buaya tembaga berwarna hitam sepanjang hampir lima meter di permukaan air. Begitu hebat aura Raja Sungai ini sehingga tidak ada yang berani menceroboh wilayahnya.

Menurut pelatih dan penjinak buaya di Taman Buaya Ayer Keroh, Melaka, Amran Ahmad, 40, buaya jantan sangat menjaga kawasannya bagi membuktikan kekuatannya. Malah ada yang sanggup menyerang buaya yang dianggap sebagai penceroboh.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2010 11:43 AM | Show all posts





SUNGAI Timun terletak 25 kilometer dari muara Sungai Linggi.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 10-2-2010 10:37 AM | Show all posts
den mmg suka bab sejarah ni... dulu sebolum jalan bukit putus lurus.. mmg lik lui ikut bukit tangga... suko sgt kawasan kg sana...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-6-2010 05:12 PM | Show all posts
Datuk Siamang Gagap pahlawan Negeri Sembilan
Oleh Hussain Said



LAKARAN wajah Datuk Siamang Gagap


Kahar Mukmin berjaya halau Inggeris dalam Perang Bukit Putus

JIKA negeri lain berbangga kerana memiliki pahlawan terbilang menentang Inggeris, Negeri Sembilan juga tidak terkecuali mempunyai tokoh yang boleh dibanggakan dan disanjung tinggi kerana berjuang menentang penjajah itu.

Kahar Mukmin atau lebih dikenali Datuk Siamang Gagap adalah tokoh terawal yang menentang Inggeris dalam "Perang Bukit Putus", peristiwa yang menjadi titik tolak kepada campur tangan Inggeris di negeri yang terkenal dengan adat Perpatih itu.

Sebenarnya, campur tangan Inggeris di Negeri Sembilan berpunca daripada krisis dan pergolakan takhta kerajaan negeri antara Tengku Laksamana Antah dan Tengku Ahmad Tunggal pada 1872 iaitu selepas kemangkatan Yamtuan Imam.

Datuk Siamang Gagap yang berasal dari suku Tanah Datar di Seri Menanti adalah pembesar Istana Seri Menanti dan kedudukannya ketika itu sama seperti Menteri atau Bendahara yang mengetuai pentadbiran dalam takhta kerajaan.

Beliau mendapat gelaran Datuk Siamang Gagap apabila dikatakan bersendirian dalam menentang orang Rawa (Temusi) yang cemburu dengan kemajuan dan kemakmuran Seri Menanti dan kerana kehandalannya itu beliau diberi gelaran itu oleh Yamtuan Radin.


MASJID yang dibina Datuk Siamang di Kampung Terusan Juasseh

Walaupun Yamtuan Radin mangkat pada 1861, Datuk Siamang Gagap masih menjadi pembesar istana yang penting di bawah pentadbiran Yamtuan Imam yang menggantikan kekandanya itu dari 1861-1869.

Kemangkatan Yamtuan Imam menyebabkan berlaku krisis mencari pengganti baginda dan Tengku Ahmad Tunggal, putera sulung Yamtuan Radin dikatakan menuntut hak supaya dirinya dilantik menjadi Yamtuan.

Namun, atas sebab-sebab tertentu, pembesar istana dikatakan enggan melantiknya dan Datuk Siamang Gagap secara tegas mengangkat Tengku Ampuan Intan, yang juga isteri kepada Yamtuan Radin sebagai pemangku takhta kerajaan.

Sebenarnya, keputusan Datuk Siamang Gagap melantik Tengku Ampuan Intan itu tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada Datuk Penghulu Luak dan Orang Empat Istana yang kemudian melantik Tengku Laksamana Antah, putera Yamtuan Radin iaitu anak saudara kepada Yamtuan Imam menaiki takhta kerajaan pada 1972.

Pelantikan Tengku Laksamana Antah sebagai Yamtuan itu, iaitu kira-kira tiga tahun selepas kemangkatan Yamtuan Imam mendapat tentangan daripada Tengku Ahmad Tunggal.

Penentangan itu dikatakan menjadi pergolakan penting dalam sejarah takhta kerajaan yang membawa kepada meletus perang saudara yang tercatat dalam sejarah Negeri Sembilan sebagai "Perang Bukit Putus".

Tengku Ahmad Tunggal yang kecewa kemudian meninggalkan Seri Menanti dan bertemu dengan Datuk Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujung iaitu Datuk Kelana Putera Syed Abdul Rahman yang simpati dengan nasibnya.

Pada masa ini, Inggeris yang sudah pun memerintah Melaka dengan menerima arahan dari Singapura sejak perjanjian Raffles dengan Sultan Hussein Shah pada 7 Mac 1819 memainkan peranan untuk mencampuri urusan di Negeri Sembilan.

Inggeris yang datang ke Sungai Ujung (dikenali Seremban) sebenarnya terpikat dengan bijih timah menyatakan sokongan kepada Datuk Kelana Putera dan berjanji memberi bantuan kepadanya sekiranya hendak menyerang Seri Menanti dalam usaha membantu Tengku Ahmad Tunggal merebut takhta kerajaan.

Menerusi janji dan bantuan Inggeris itu menyebabkan krisis takhta kerajaan negeri bertambah parah yang akhirnya berlaku peperangan antara Sungai Ujung dan Seri Menanti yang dikenali sebagai "Perang Bukit Putus".

Dalam peperangan itu, penduduk Seri Menanti yang berdiri teguh di belakang Yamtuan Antah diketuai oleh Datuk Siamang Gagap sementara penduduk Sungai Ujung diketuai Kapten Murray, seorang pegawai tentera Inggeris.

Pada peringkat awal, pasukan Datuk Siamang Gagap berjaya mengundurkan lawan hingga ke Paroi tetapi pihak Inggeris kemudian menambah kekuatan dengan membawa askar sepoi dari Melaka untuk membantu.

Pihak Inggeris dengan senjata lengkap akhirnya memenangi pertempuran pada 1874 itu dan bagi mengelakkan ditawan, Yamtuan Antah melarikan diri ke Johor sambil Datuk Siamang Gagap meneruskan perjuangan menentang kemasukan Inggeris ke Seri Menanti.

Ketika Datuk Siamang Gagap merancang mahu bertindak balas, beliau mendapat tahu Yamtuan Antah dikatakan sudah menerima syarat berdamai yang dibuat oleh Fredrick Alusysweld.

Namun, dikatakan perjanjian antara Yamtuan Antah dengan Inggeris pada 4 Jun 1887 itu terus mendapat tentangan daripada Datuk Siamang Gagap dan bagi mengendurkan suasana, pihak Inggeris dikatakan menawarkannya menunaikan fardu haji ke Makkah.


MAKAM Datuk Siamang di Masjid Kampung Terusan Juasseh, Kuala Pilah.

Ketika pemergian Datuk Siamang Gagap ke Makkah, Inggeris dikatakan mengambil kesempatan memeterai perjanjian dengan Yamtuan Antah dan apabila pulang beliau akhirnya terpaksa mengalah sebaik mengetahui perjanjian itu sudah ditandatangani.

Selepas menandatangani perjanjian itu, Inggeris berjaya meletakkan pengaruhnya dengan lebih berkesan di Seri Menanti dan kedudukan bandar diraja itu kian tersepit selepas Yamtuan Antah mangkat kira-kira empat bulan selepas perjanjian itu.

Bagaimanapun, dalam usaha Inggeris mahu melantik Tengku Muda Chik menjadi Yamtuan bagi menggantikan Yamtuan Antah yang mangkat pada 1888, Datuk Siamang Gagap keras menentang.

Akibat penentangan itu, pihak Inggeris dikatakan melantik Tuanku Muhammad menjadi Yamtuan dan akhirnya pada 13 Julai 1889, Inggeris menamakan Martin Lister sebagai Residen Inggeris pertama di Negeri Sembilan.

Mengikut sumber Datuk Siamang Gagap yang benci dan menentang kuat terhadap Inggeris kemudian mengundurkan diri daripada menjadi pembesar istana dengan melarikan diri ke Pahang selepas penjajah itu campur tangan sepenuhnya di negeri berkenaan.
Reply

Use magic Report

Follow Us
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-12-2024 05:53 AM GMT+8 , Processed in 2.241871 second(s), 21 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list