CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

123
Return to list New
Author: bizplan

Gemenceh : Empat beranak mati dibunuh ..Kejamnye..

[Copy link]
Post time 12-8-2010 10:22 AM | Show all posts
Misi suci ‘bunuh syaitan, dajal’

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
[email protected]

RASAH 11 Ogos – Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini dikejutkan dengan pendedahan seorang saksi yang memberitahu bahawa Rasidi Ismail mendakwa dia bertindak membunuh empat ahli keluarganya demi melaksanakan satu misi suci ‘membunuh syaitan dan dajal’.

Perkara itu didedahkan oleh Pegawai Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Supritendan Noor Suran Abdul Wahid ketika disoal balas oleh peguam bela kepada Rasidi, Hanif Hassan.

HANIF: Ada tanya OKT (orang kena tuduh) kenapa tanam kepala bapanya, Ismail Awang di Shah Alam, Selangor?

NOOR SURAN: Ada. OKT beritahu ketika itu dia bercelaru.

HANIF: Ada OKT beritahu bahawa kepala yang dia tanam itu adalah kepala Sayidina Abu Bakar?

NOOR SURAN: Ada.

HANIF:Ada OKT beritahu bahawa dia menanam kepala itu bagi menghalang ia diambil oleh syaitan dan dajal?

NOOR SURAN: Ada.

HANIF: Ada OKT beritahu bahawa dia ketika itu menjalankan satu misi suci untuk membunuh syaitan dan dajal yang kini banyak di muka bumi ini?

NOOR SURAN: Ada.

Saksi pendakwa kesembilan itu juga menyatakan, tertuduh ada memberitahunya bahawa nenek tertuduh, Sufiah Katas, 80, ialah jelmaan syaitan manakala datuknya, Atan Daud, 87, ialah jelmaan dajal.

Di samping itu, tertuduh mendakwa dia membunuh adiknya, Siti Khadijah Ismail, 22, kerana perlu menyelamatkan mangsa daripada syaitan dan dajal.

‘‘Tertuduh juga ada memberitahu sebelum semua mangsa dibunuh, dia telah meminta maaf daripada mereka,’’ kata Noor Suran.

Rasidi, 32, dibicarakan atas tuduhan membunuh bapanya, Ismail, 76, datuk dan neneknya di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, di sini antara pukul 7 pagi dan 11 pagi, 5 Januari lalu.

Tertuduh yang merupakan penganggur juga dituduh membunuh Siti Khadijah di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan pada masa dan tarikh yang sama.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Tampin, Asisten Supritendan Khairil Anuar Saidin pula memberitahu, Rasidi berharap agar dia dibunuh ketika bertindak menyerang dua anggota polis bantuan di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada 6 Januari lalu.

Menurut saksi kesepuluh itu, pemuda tersebut memberitahu tindakannya menyerang anggota polis bantuan itu bertujuan agar mereka menyerangnya semula.

HANIF: Ada dia beritahu tujuan dia menyerang anggota polis bantuan berkenaan supaya dia boleh terbunuh ketika diserang balas?

KHAIRIL ANUAR: Ada.

HANIF: Ada OKT beritahu dia mahu mati kerana dia sudah dijatuhkan hukuman mati?

KHAIRIL ANUAR: Ada.

Selepas saksi itu selesai memberi keterangan, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memerintahkan Rasidi membela diri atas tuduhan yang dihadapinya setelah mendapati Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berjaya membuktikan kes prima facie.

‘‘Laporan bedah siasat dan keterangan saksi membuktikan bahawa semua mangsa mati akibat kecederaan yang dialami mereka.

‘‘Mahkamah juga mendapati penemuan kepala, rekod percakapan tertuduh dan kelakuan tertuduh jelas menunjukkan niat tertuduh,’’ katanya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 12-8-2010 01:13 PM | Show all posts
ada menuntut ilmu salah ke dia ni
Reply

Use magic Report

Post time 13-8-2010 07:15 AM | Show all posts
'Tulisan arah sembelih ahli keluarga'

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN92utusan.com.my



Ibu Rasidi Ismail, Zaharah Atan (kiri) ditenangkan oleh salah seorang keluarganya di Mahkamah Tinggi, Seremban, semalam. - BERNAMA

SEREMBAN 12 Ogos - Rasidi Ismail yang menghadapi tuduhan membunuh empat ahli keluarganya mendakwa, dia kerap mendapat visual tulisan di dinding yang menjadi medium perhubungannya antara alam hidup dan alam mati.

Rasidi, 32, juga menyatakan, visual tulisan tersebut yang mengarahkan dia membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuk, Atan Daud, 87; nenek, Sufiah Katas, 80; dan adik, Siti Khadijah, 22, pada awal Januari lalu.

Pengakuan itu dibuat olehnya ketika membela diri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh bapa, datuk dan neneknya di rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara pukul 7 pagi dan 11 pagi, 5 Januari lalu.

Tertuduh yang merupakan penganggur juga dituduh membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan pada masa dan tarikh yang sama.

Keempat-empat tuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Rasidi yang berbaju kemeja putih dan seluar hijau muda memberi keterangan membela diri dari kandang tertuduh dengan membacakan kenyataan yang ditaip di atas dua helai kertas.

Dalam keterangan tanpa bersumpah itu, Rasidi yang kelihatan tenang menyatakan, dia telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang kematian bapa, ibu, abang dan adiknya.

"Visual tersebut memaparkan ayah saya telah diangkat ke langit dan ibu saya terperanjat lalu meninggal dunia manakala abang kedua saya menjadi batu dan adik saya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya," katanya.

Ujarnya, walaupun ahli keluarganya telah meninggal dunia tetapi dia masih boleh berhubung dengan mereka melalui perbualan dari hati ke hati.

Menceritakan kejadian itu, Rasidi berkata, dia pulang ke kampung pada 4 Januari lalu tetapi pada sebelah malamnya, dia tidak dapat tidur kerana tulisan di dinding memberitahu syaitan dan dajal telah keluar di negara ini.

"Setelah hari siang, saya mendapat arahan daripada tulisan di dinding menyuruh saya membunuh dajal yang telah memasuki badan nenek saya dan membunuh syaitan yang memasuki badan datuk saya.

"Saya telah pergi ke rumah datuk dan mendapat arahan agar menikam nenek saya menggunakan pisau yang berada di lantai sebelum menikam datuk saya," ujarnya.

Selepas membunuh kedua-dua mangsa, kata Rasidi, dia pulang ke rumah untuk membasuh tangan dan pisau tersebut.

"Tiba-tiba ayah saya keluar dan tulisan di dinding itu mengarahkan saya menyembelih ayah dan mengambil kepalanya untuk dibawa ke Thailand.

"Selepas itu saya terus masuk ke dalam rumah dan berjumpa adik saya. Tulisan di dinding itu kemudian mengarahkan saya menikam adik saya untuk menyelamatkannya daripada dirasuk dajal dan syaitan," jelasnya.

Kata pemuda itu, dia membawa kepala bapanya dengan menaiki motosikal ke pekan Tampin dan dari situ dia menaiki teksi ke Seremban sebelum ke ibu negara dengan menaiki bas.

"Di Kuala Lumpur saya menyewa bilik di sebuah hotel bajet di Jalan Petaling dan pada malam itu saya telah diadili oleh Tuhan atas pembunuhan yang saya lakukan serta dijatuhi hukuman pancung.

"Pada waktu pagi saya pergi ke Penjara Pudu untuk menjalani hukuman gantung tetapi saya dapati ia sudah ditutup. Saya kemudian pergi ke mahkamah berdekatan Dataran Merdeka tetapi mahkamah itu sudah berpindah," katanya.

Rasidi memberitahu, dia kemudian pergi ke Masjid Jamek dan mendengar banyak suara menyuruhnya menyerang anggota polis agar mereka menembaknya sekali gus melaksanakan hukuman pancung yang dijatuhkan terhadapnya.

"Saya kemudian mengambil sebilah pisau dari sebuah kedai makan berdekatan Masjid Jamek lalu berjalan mencari balai polis berhampiran.

"Tiba-tiba saya terjumpa dua anggota polis bantuan yang sedang meronda di stesen LRT Masjid Jamek dan saya telah mengacukan pisau tadi kepada mereka dengan harapan mereka akan menembak saya," ujarnya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Hanif Hassan berkata, anggota polis berkenaan tidak melepaskan tembakan sebaliknya mereka mengejar dan memberkasnya.

Bekas tunang tertuduh, Mysharah Mohammad Ali, 29, yang turut dipanggil sebagai saksi pembelaan memberitahu, dia dihubungi oleh tertuduh pada 3 Januari lalu dan dimaklumkan mengenai ibu, bapa, abang dan adik lelaki tertuduh telah meninggal dunia.

"Saya tanya tertuduh... betul ke, takkan semua mati serentak. Kemudian tertuduh kata betul sebab dia (Rasidi) adalah Rasulullah," katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin bersambung 30 Ogos ini.
Reply

Use magic Report

Post time 13-8-2010 10:26 AM | Show all posts
Reply 43# Syd

   'Saya diadili Tuhan'    Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

2010/08/13
        

   
              

SEREMBAN: Tertuduh kes bunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh, Tampin, Januari lalu, Rasidi Ismail, 32, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa dia membawa kepala bapanya yang disembelih keluar dari kawasan rumah menggunakan motosikal hingga ke pekan Tampin.

TERTUDUH...Rasidi dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.




MYSHARAH...bekas tunang tertuduh

  Ketika memberi keterangan dari kandang tertuduh, Rasidi yang memakai baju kemeja putih  berkata, sebaik sampai di Tampin, dia meneruskan perjalanan ke Seremban menggunakan sebuah teksi sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur.

  “Saya turun di Petaling Street dan mendapat visual imej seorang bekas teman saya iaitu Sherry meminta saya tunggu di Kuala Lumpur dan saya menyewa sebuah hotel bajet di Petaling Street. Saya menunggu dia (Sherry) sehingga  esok paginya.

  “Pada malam itu, saya diadili oleh Tuhan di atas pembunuhan yang dilakukan dan dijatuhi hukuman pancung,” katanya.

  Menurutnya, pada pagi itu, dia mendapat tulisan di langit meminta supaya menanam kepala bapanya di mana-mana tanah perkuburan Islam lalu dia pergi ke Shah Alam menaiki sebuah teksi.

  Katanya, sebaik sampai di sana, dia menanam kepala bapanya berhampiran pagar dan balik semula ke Kuala Lumpur dengan teksi sebelum solat Zuhur di Masjid Jamek Kuala Lumpur.


  “Selepas itu, saya (pergi) ke Penjara Pudu untuk menjalani hukuman pancung, tetapi saya dapati Penjara Pudu sudah ditutup lalu saya bertanyakan kepada anggota polis yang bertugas di situ di mana tempat hukuman pancung dijalankan kerana saya dijatuhkan hukuman di dalam perbicaraan.

  “Saya kemudian diarahkan oleh anggota polis itu supaya pergi ke belakang mahkamah dekat Dataran Merdeka dan apabila sampai di situ, saya dapati mahkamah berpindah lalu kembali semula ke Masjid Jamek Kuala Lumpur,” katanya.


  Rasidi berkata, pada sebelah petang, dia mendengar ribuan suara manusia di sekeliling menyebabkannya menjadi bingung dan berkecamuk.

  Menurutnya, dia mendengar suara itu menyerang anggota polis supaya anggota polis menembak kepalanya yang membawa maksud hukuman pancung terbabit terlaksana.

  Katanya, dia mengambil sebilah pisau dari kedai makan berdekatan Masjid Jamek Kuala Lumpur lalu berjalan mencari balai polis berhampiran, namun berjumpa dengan anggota polis yang meronda di Stesen LRT Masjid Jamek dan mengacukan pisau ke arah mereka dengan harapan anggota polis itu menembak kepalanya.

  “Namun, mereka tidak menembak kepala saya bahkan mengejar dan berjaya menahan saya lalu dibawa ke Balai Polis Dang Wangi,” katanya.

  Rasidi menghadapi pertuduhan membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuknya, Atan Daud, 87, dan neneknya, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 pagi dan 11 pagi pada 5 Januari lalu.

  Selain itu, dia dituduh membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119 kampung berkenaan pada tarikh dan waktu sama.

  Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

  Pada perbicaraan hari ketiga semalam, dua saksi pihak pembelaan iaitu bekas tunang dan majikan memberikan keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

  Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin.

  Sementara itu, bekas tunang mangsa, Mysharah Mohammad Ali, 29, ketika menjawab pertanyaan peguam bela tertuduh, Hanif Hassan, berkata dia ada menerima panggilan daripada Rasidi pada malam 3 Januari lalu yang memberitahu beberapa ahli keluarganya sudah meninggal dunia.

  Bekas majikan tertuduh, Azahar Abdul Halim, 35, berkata Rasidi mula berubah sikap selepas beberapa bulan bekerja di syarikat pembinaan di Shah Alam.

  Katanya, Rasidi yang bekerja pada September 2008 sebagai pegawai penyelaras tapak projek mula berubah sikap dengan bercakap seorang diri di tapak binaan selain enggan mendengar arahan daripada orang lain.

Perbicaraan akan bersambung pada 1 dan 2 September depan dengan pihak pembelaan akan mengemukakan saksi penting iaitu seorang pakar sakit jiwa.
Reply

Use magic Report

Post time 2-9-2010 10:28 AM | Show all posts
Tiada keluarga sakit mental
Oleh Iskandar Shah Mohamed

2010/09/02

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam diberitahu bahawa keluarga dan keturunan tertuduh, Rasidi Ismail, 32, yang membunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh, Tampin, awal Januari lalu, tidak pernah mengalami masalah mental atau tekanan jiwa.
Perkara berkenaan dimaklumkan tiga saksi pendakwaan yang dipanggil semula memberikan keterangan iaitu ibu dan adik perempuan tertuduh, Saharah Atan, 59, dan Siti Mariam, 19, serta Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin, Asisten Superintendan Khairil Anwar Saidin.


Menurut Saharah, anak lelakinya itu diberikan kasih sayang mencukupi dan membesar dalam persekitaran keluarga yang aman sejak kecil sehingga dewasa.


Katanya, sejak belajar di sebuah sekolah agama di Ampangan, di sini, sehingga menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor, Rasidi dianggap seorang yang baik dan tidak pernah mempunyai masalah dengan keluarga serta jiran berdekatan.


“Sebelum kejadian, tertuduh turut tidak pernah memberitahu ada mendengar bisikan suara atau melihat tulisan di dinding termasuk meminta sebarang senjata tajam,” katanya.


Keterangan Saharah bahawa keluarga dan keturunannya tidak pernah mempunyai masalah mental turut disokong Siti Mariam dan Khairil yang memaklumkan perkara sama kepada mahkamah.


Sementara itu, Khairil berkata, melalui proses soal siasat yang dijalankan, jawapan diberikan menunjukkan tertuduh ada kalanya seperti orang normal dan juga kurang siuman.


Menurutnya, ini berikutan Rasidi ada memberitahu sesuatu yang normal mengenai tahap sebenar pendidikannya selain jawapan di luar jangka membabitkan arahan melalui bisikan suara atau melihat tulisan pada dinding.


Tertuduh sebelum ini diarahkan Mahkamah Tinggi untuk menjalani pemeriksaan mental selama dua bulan di Hospital Permai, Tampoi, Johor selepas mengaku bersalah membunuh empat ahli keluarganya.


Dia yang juga seorang penganggur sebelum ini mengaku bersalah melakukan pembunuhan berkenaan dan mendakwa perbuatan itu dilakukan atas arahan dari langit.


Mengikut pertuduhan, Rasidi didakwa membunuh bapanya, Ismail; datuknya, Atan, dan neneknya, Sufiah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 pagi dan 11 pagi pada 5 Januari lalu.
Reply

Use magic Report

Post time 3-9-2010 07:07 AM | Show all posts
NEGARA

Rasidi dihukum sebelum Aidilfitri


Rasidi dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Seremban semalam.

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 7 September ini sebagai tarikh keputusan kes Rasidi Ismail yang menghadapi tuduhan membunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh dekat sini pada 5 Januari lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah pihak pembelaan dan pendakwaan berhubung kes tersebut.

Peguam bela Hanif Hassan yang mewakili Rasidi, 32, dalam hujahnya menggesa agar mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh atas empat tuduhan membunuh ahli keluarganya dan mencadangkan agar Rasidi meneruskan rawatan di Hospital Permai, Johor.

Keterangan dan laporan Pakar Runding Forensik Psikiatri Hospital Permai, Dr. Badi'ah Yahya mendapati tertuduh mengalami halusinasi.

"Rasidi juga mempunyai ciri-ciri ketidakwarasan apabila dia juga didapati bercakap seorang diri dan mempunyai perlakuan pelik," kata beliau.

Terdahulu, saksi terakhir, Badi'ah memberitahu mahkamah bahawa hasil laporan kesihatan Rasidi menunjukkan tanda-tanda sebagai pesakit mental.

"Daripada cerita (Rasidi) yang konsisten iaitu perlakuan yang pelik, kami membuat keputusan bahawa dia menghadapi sakit jiwa," kata Badi'ah.

Rasidi dituduh membunuh bapanya, Ismail Awang, 76, datuk, Atan Daud, 87, dan nenek, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara pukul 7 dan pukul 11 pagi.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 7-9-2010 11:43 AM | Show all posts
Rasidi bebas tuduhan bunuh tetapi diperintah ditahan di Penjara Kajang


2010/09/07

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban membebaskan Rasidi Ismail, 34, daripada tuduhan membunuh empat ahli keluarganya tetapi ditahan di Penjara Kajang hingga perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Rasidi, didakwa membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuknya, Atan Daud, 87, dan neneknya, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 pagi dan 11 pagi 5 Januari lalu.

Selain itu, dia dituduh membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119 kampung itu pada tarikh dan waktu sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin.
Reply

Use magic Report

Post time 7-9-2010 02:00 PM | Show all posts
Published: Selasa September 7, 2010 MYT 10:31:00 AM
Updated: Selasa September 7, 2010 MYT 1:41:36 PM

Rasidi Terlepas Tuduhan Bunuh Empat Anggota Keluarga Kerana Tak Siuman

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban pada Selasa mendapati Rashidi Ismail, 34, tidak bersalah membunuh anggota keluarganya pada Januari lepas atas alasan dia tidak siuman.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nafsy Yasin mengarahkan Rashidi ditahan di Penjara Kajang sehingga diperkenan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Ketika menjatuhkan keputusan, Ahmad Nafsy berkata tindakan Rashidi membunuh datuk, nenek, bapa dan adik perempuannya tidak konsisten dengan orang yang waras dan ini disokong oleh keterangan Pakar Perunding Forensik Psikiatri dari Hospital Permai, Dr Badiah Yahya.

Rashidi didapati menghidap penyakit "skizofrenia" selama dua tahun dan tidak pernah mendapat sebarang rawatan sebelum kejadian pembunuhan ahli keluarganya pada 5 Jan lepas, katanya.

"Doktor pakar membuat rumusan bahawa ketika kejadian pembunuhan itu, tertuduh berada dalam keadaan tidak siuman serta berpegang teguh kepada arahan yang dikeluarkan oleh halinusasinya," kata Ahmad Nafsy.

Katanya mahkamah juga yakin dengan pendapat Dr Badi'ah kerana prosedur kajian pakar itu adalah mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Keputusan itu disambut oleh perasaan lega oleh ahli keluarga Rashidi yang kemudian bergegas ke belakang mahkamah untuk melihatnya.

Ibu tertuduh, Zaharah Atan ketika ditemui pemberita, berkata : "Keputusan ini merupakan anugerah Aidilfitri".

"Alhamdullilah, terlepas dari tali gantung. Masa sembahyang, makcik tidak putus-putus berdoa supaya dia terlepas dari hukuman gantung," katanya.

Semasa perbicaraan, Rashidi memberitau mahkamah dia melakukan perbuatan itu selepas mendapat "arahan dari tulisan di dinding".

Pendakwaan kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin manakala Rashidi diwakili peguam bela, Hanif Hassan. - BERNAMA
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-12-2024 07:46 AM GMT+8 , Processed in 0.355164 second(s), 20 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list