|
tepek berita sat sbb dah banyak melalut
Syed Aliff, Nurul Sarah terpantas
Oleh AMRAN MULUP dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR
Nurul Sarah (tengah) melepasi garisan penamat untuk muncul juara 100m wanita Sukma XII di Melaka, semalam. – Utusan/Abdul Razak Latif
MELAKA – Syed Aliff Syed Noh dan Nurul Sarah Kadir ditabalkan sebagai Raja dan Ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka 2010 apabila memenangi acara akhir 100 meter lelaki dan wanita di Stadium Hang Jebat, semalam.
Bagaimanapun catatan masa yang dilakukan kedua-dua pelari itu tidak berupaya memecah rekod temasya atau kebangsaan.
Dalam saingan 100m lelaki, rekod kebangsaan masih dipegang Watson Nyambek dari Sarawak dengan masa 10.33s, manakala G. Shanti dari Selangor memegang rekod 100m wanita, 11.50s.
Syed Aliff, yang mewakili Wilayah Persekutuan diberi saingan hebat hingga ke pecutan terakhir sebelum berjaya melonjakkan diri melepasi garisan penamat dengan kepantasan 10.71s.
Atlet Pahang, Mohd. Azhar Md. Ismail sekadar berpuas hati dengan perak selepas mencatat masa 10.74s, manakala gangsa milik Rayzamshah Wan Sofian dari Sabah dengan catatan masa 10.80s.
''Saya sebenarnya tidak sangka akan menang kerana menuju 20m terakhir kemenangan seolah-olah bukan milik kerana tentangan yang diberikan Azhar amat sengit,’’ akui Syed Aliff, yang lega kerana menebus kekecewaan meraih gangsa di Temasya Terengganu, dua tahun lalu.
Menurut Syed Aliff, kejayaan itu menyuntik semangatnya untuk mencari tiket ke Sukan SEA Indonesia, tahun depan.
Sementara itu, atlet tuan rumah, Nurul Sarah menceriakan penyokong sendiri untuk mengungguli acara 100m wanita dengan masa 12.04s. Ini adalah emas pertama Melaka dalam acara olahraga.
Di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang turut menyaksikan acara tersebut, Nurul Sarah memecut sejak dari permulaan dan meninggalkan jauh tujuh saingan lain sebelum mencecah ke garisan penamat tanpa dicabar.
''Saya lega dapat meraih pingat emas buat Melaka cuma yang agak mengecewakan saya kerana catatan 12.04s bukanlah masa terbaik yang saya ingin lakukan. Sebenarnya saya mengidam untuk memecah rekod milik G. Shanti,'' katanya.
Dalam acara 10,000m lelaki, Mohd. Khairil Harith Harun dari Kelantan memenangi emas dengan masa 49:15.77s, meninggalkan M. Jayseelans dari Pulau Pinang di tempat kedua dan T.Dhiban Raj dari Negeri Sembilan ketiga.
Melinder Kaur dari Pulau Pinang pula mencatatkan rekod baru temasya dalam acara 5,000m wanita apabila memenangi emas dengan masa 17:46.01s. Catatan itu melebur rekod lama 18.30.16s milik Linda Chin dari Sarawak.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan terus mengungguli kedudukan pungutan pingat selepas mengumpul 29 emas, 27 perak dan 26 gangsa. Selangor mengekori rapat di tangga kedua dengan 25 emas, diikuti Kedah (25 emas), Melaka (23), Terengganu (22), Sarawak (21) dan Pahang dengan 20 emas.
http://www.utusan.com.my/utusan/ ... =Sukan&pg=su_01.htm |
|