[size=0.8]Oleh Safuri Kamarudin - Oktober 16, 2021 @ 9:21am[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/photo1634344672_1634347277.jpg)
Pengerusi RISDA, Mohd Salim menyerahkan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di Kampung Haji Abas dan Lubuk Pedati. - Foto NSTP/Safuri Kamarudin.
BALING: RISDA memperuntukkan sebanyak RM191 juta kepada 232,000 pekebun kecil getah di seluruh negara menerusi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).
Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif, berkata bantuan itu akan diberi kepada setiap pekebun kecil yang memiliki keluasan kebun getah kurang daripada 2.5 hektar.
Katanya, BMT akan disalurkan sebanyak dua kali iaitu pada November dan Disember ini berikutan bulan itu adalah tempoh pekebun kecil getah paling terkesan akibat musim tengkujuh.
"Faktor geografi dan taburan hujan yang tidak menentu setiap tahun menyebabkan pekebun kecil getah terkesan dengan fenomena ini.
"Kerajaan memperuntukkan RM191 juta bagi membantu mereka dan diharap ia mampu meringankan beban pekebun sepanjang tempoh musim tengkujuh ini," katanya pada sidang media di sini, petang semalam.
Terdahulu, Mohd Salim menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dalam kejadian bulan lalu di Kampung Haji Abas dan Lubuk Pedati di sini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal.
Mengenai harga getah sekerap, Mohd Salim berkata, harga komoditi itu dijangka dapat dinaikkan pada tahun depan.
"Pihak RISDA masih dalam perbincangan dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bagi meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram.
"Sekiranya harga lantai komoditi ini dapat naik mulai Januari ini, kerajaan tidak lagi perlu memberi subsidi musim tengkujuh, sebaliknya semua pekebun kecil seluruh negara mendapat manfaat daripadanya," katanya.