Seorang lagi penduduk, Mazlan Mat Jusoh, 53, berkata, dia yang sedang tidur dikejutkan isterinya pada 6 pagi memaklumkan terdapat objek besar melalui belakang rumah mereka.
"Saya segera bangun untuk tengok objek dimaksudkan isteri dan terkejut melihat gajah lalu di hadapan rumah.
"Sebaik ia beredar, saya segera membuat pemeriksaan dan mendapati pagar rumah serta kereta rosak.
"Kejadian itu menyebabkan saya menanggung kerugian hampir RM1,000 selepas sebahagian pagar dan keretanya dirosakkan haiwan berkenaan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman melahirkan rasa lega apabila gajah yang memasuki kawasan kampung berkenaan berjaya ditangkap.
Katanya, setakat ini, lima rumah penduduk mengalami kerosakan pada pagar akibat serangan gajah itu.
"Selain itu, sebuah kereta milik penduduk turut mengalami kerosakan dan kita akan melihat bantuan yang boleh diberikan kepada penduduk terbabit," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata, gajah jantan yang dianggarkan seberat dua tan berjaya ditangkap kira-kira 10 pagi tadi.
Katanya, gajah liar yang dipercayai berusia berusia 10 tahun itu dipercayai haiwan yang sama berkeliaran di Sungai Tarom, Setiu pada Sabtu lalu.
"Gajah itu dikesan masuk ke kampung berkenaan hari ini dan berjaya ditangkap selepas ditembak dengan ubat pelali," katanya.