[size=0.8]Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli - November 9, 2021 @ 10:13am[email protected]
Mohamed Mulyady Yusof,47, dan Mohamad Danny Amyar, 14, dari Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan bersama ‘King’ yang badannya ada corak didakwa seakan kalimah Allah. - NSTP/AHMAD RABIUL ZULKIFLI
TUMPAT: Seekor biri-biri jenis Santa Ines yang diternak di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, menjadi tumpuan ramai berikutan terdapat corak yang didakwa seakan kalimah Allah pada badan haiwan berkenaan.
Biri-biri baka berasal dari Brazil diternak Mohamed Mulyady Yusof, 47, bersama anaknya, Mohamad Danny Amyar, 14, sejak tahun lalu itu ditawar pada harga sehingga RM6,000 kerana keunikannya itu.
"Ketika membeli biri-biri itu dengan harga RM1,500 dari seorang penternak di Kampung Cabang Empat, ia baru berusia 10 bulan," katanya ketika ditemui dan menegaskan, dia dan anaknya tiada perancangan menjual ternakan itu biarpun ditawar harga yang tinggi.
Mohamed Mulyady berkata, anaknya berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran tetapi meminati bidang penternakan.
"Saya sengaja mendorong anak membela biri-biri baka itu kerana ternakan itu unik dan boleh menjana hasil lumayan berbanding ternakan lain. Biri-biri yang mempunyai corak seakan kalimah Allah itu dipanggil dengan gelaran 'King' kerana ia biri-biri pertama yang dibeli.
"Walaupun corak kalimah pada badannya berkedudukan terbalik, King tetap diminati. Setakat ini bukan peminat biri-biri sahaja yang ingin membelinya, ahli agama juga ada datang ke rumah ingin membeli. King bukan sahaja unik dengan tanda kalimah itu, tetapi sangat jinak dan manja seperti kucing," katanya.
Dia yang menternak lebih 20 biri-biri jenis Santa Ines dan Black Belly, berkata mereka akan mengembangkan penternakan biri-biri baka itu kerana ia berpotensi menjana pendapatan lumayan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kontempori Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Khairul Aiman Wan Mokhtar, berkata kalimah seperti itu menunjukkan tanda kekuasaan Allah untuk manusia mengambil hikmah dengan mengingati kekuasaan Yang Maha Esa.
"Tiada masalah untuk kita simpan kalimah Allah tertera pada kulit biri-biri atau sebagainya dengan niat memuliakan kalimah itu, tetapi tidak boleh taksub dan menganggap ia mempunyai kuasa tertentu. Lebih baik baca al-Quran kerana ia dijanji ganjaran yang besar," katanya.
Menurutnya, orang ramai digalak memikirkan mengenai kekuasaan Allah apabila melihat sesuatu yang ajaib dan bukan taksub sehingga menyesatkan.