![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211210/whatsappimage2021-12-10at135213.jpeg)
Awang Tengah melawat tapak projek kilang baharu baharu Taiyo Yuden yang sedang dibangunkan di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya. -Gambar Chimon Upon
KUCHING: Empat syarikat iaitu Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd, LONGi, Western Digital dan IMM Technology Sdn Bhd memperbesarkan loji mereka di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di sini dengan pelaburan berjumlah RM6.31 bilion.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dengan siapnya projek ini kelak, ia akan memberi tambahan kira-kira 5,000 lebih peluang pekerjaan terutama bagi pekerja mahir.
“Pelaburan baharu ini menggambarkan keyakinan tinggi pelabur terutama pelabur asing kepada pimpinan negeri diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja di tapak pelaburan baharu Taiyo Yuden di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di sini hari ini.
Tambah Awang Tengah, meskipun berdepan pandemik COVID-19 namun syarikat yang beroperasi di Sama Jaya ini berjaya mengeksport barangan bernilai RM6.93 bilion pada 2020 meningkat 27.5 peratus berbanding RM5.43 bilion pada 2019.
Sarawak katanya juga sentiasa berkedudukan antara empat destinasi pelaburan di Malaysia bagi sektor pembuatan dan berjaya menarik RM15.7 bilion pelaburan pada 2020.
“Oleh kerana Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya ini hampir mencapai kapasiti penuh, kerajaan Sarawak telah mengenalpasti tapak baharu dengan anggaran keluasan 1,000 ekar di Samarahan bagi pembesaran taman berteknologi tinggi.
“Cadangan pembesaran taman berteknologi tinggi ini juga antara yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menampung permintaan pelabur,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Taiyo Yuden Yoshio Akimoto berkata tahun ini menandakan 25 tahun operasi di Sarawak.
Berikutan permintaan bagi komponen elektronik yang dijangka meningkat berikutan kemajuan elektronik dan evolusi teknologi 5G, Taiyo Yuden melabur RM0.7 bilion di Sama Jaya ini bagi membina kilang baharu.
Fasa satu bagi projek ini katanya melibatkan pembinaan sebuah kilang, sebuah bangunan pejabat dan gudang barang.
“Kilang baharu ini akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau menerusi pemuliharaan tenaga dengan memperbaiki kecekapan pelbagai fasiliti dan penghasilan tenaga daripada solar,” katanya.
Tambah Yoshio, kilang baharu ini akan beroperasi pada 2023 dan akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 2,000 rakyat sekali gus menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
utusanborneo.com.my/2021/12/10
|