![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211215/twu-ub151221-hs-rompakp1.jpg)
RAMPAS: Polis berjaya merampas peralatan dan barang rompakan yang dilakukan suspek.
TAWAU: Empat lelaki disyaki terlibat dalam kes rompak berkumpulan menggunakan senjata di daerah ini berjaya ditahan menerusi ‘Operasi Rentap’, di sini baru-baru ini.
Turut ditahan tiga wanita disyaki terlibat melakukan pembelian barangan curi hasil kegiatan rompak yang dilakukan oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya sebelum ni telah menerima enam laporan membabitkan kes rompakan berkumpulan.
“Empat daripadanya rompakan berkumpulan dengan senjata, manakala masing-masing satu rompakan berkumpulan tanpa senjata dan ugutan jenayah serta khianat.
“Kesemua kejadian rompakan itu berlaku di kawasan Batu 3 hingga 5 Jalan Apas, Taman Desa Ranggu, Jalan Sin Onn dan Jalan Kinabutan,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melancarkan ‘Operasi Rentap’ bagi menumpaskan kumpulan ini.
“Pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki berumur 27 tahun di kawasan Taman Sri Apas, Batu 8 Jalan Apas, di sini.
“Hasil soal siasat, suspek mendedahkan tiga lagi rakannya yang turut bersama-sama melakukan jenayah tersebut,” katanya.
Menurutnya, pasukan operasi bertindak melakukan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung Sri Aman pada jam 2 petang dan berjaya menahan tiga lagi lelaki berumur 22 hingga 39 tahun.
“Turut dirampas bersama suspek pelbagai jenis senjata tajam dan barang rompakan termasuk sebuah motosikal.
“Susulan tangkapan itu juga, tiga wanita ditahan di lokasi berbeza kerana disyaki membeli barangan curi hasil aktiviti rompakan suspek,” katanya.
Peter berkata, modus operandi suspek adalah menggunakan senjata ketika melakukan rompakan ke atas mangsa dan hasil rompakan dijual.
“Kesemua suspek lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau dalam pelbagai kesalahan termasuklah jenayah rompak berkumpulan menggunakan senjata, pecah rumah, ugutan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan ditahan reman mengikut Seksyen 117 KPJ selama 14 hari,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/15
|