![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211215/mahkamahkuching2.jpg)
KUCHING: Padah menumbuk muka anak saudara sehingga menyebabkan mangsa patah tulang hidung, seorang lelaki bekerja sendiri dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Hadi Maulana, 38, mengaku bersalah sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa lelaki berusia 19 tahun dengan cara menumbuk hidung mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya dalam satu kejadian pada 13 Julai lalu, jam lebih kurang 7.50 malam di kediaman nenek mangsa di Kampung Semerah Padi, di sini.
Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa sedang bersembang dengan sepupunya pada hari kejadian, tertuduh tiba-tiba pergi ke hadapan mangsa dan menumbuk bahagian hidung mangsa.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa tertunduk kerana dia dapat merasakan darah keluar dari hidung.
Tertuduh bagaimanapun bertindak menghentak belakang kepala mangsa menggunakan sikunya, selain memarahi mangsa dengan menyatakan bahawa dia telah menjaga mangsa dari kecil tetapi mangsa tidak mempedulikannya serta melawatnya di rumah.
Tertuduh juga meminta duit daripada mangsa untuk membayar bil rumah padahal tertuduh tidak lagi tinggal di rumah tersebut.
Oleh itu, mangsa membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh pada 15 November lalu.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, ASP Hisyam Junaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
utusanborneo.com.my/2021/12/15
|