![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211216/mahkamah3.jpg)
KUCHING: Padah menceroboh klinik kesihatan dengan niat hendak mencuri, seorang lelaki bekerja sendiri dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Adika Rabbaiee, 28, mengaku salah terhadap tuduhan itu, selain memerintahkan hukuman penjara berkuatkuasa hari ini.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan pencerobohan jenayah iaitu memasuki Klinik Kesihatan Tanjung Embang, Kampung Semilang di sini tanpa kebenaran dengan niat untuk mencuri pada 16 Oktober lalu, sekitar jam 4.30 petang.
Berdasarkan keterangan kes, pada 20 Oktober lalu, staf klinik berkenaan menyedari klinik telah dipecah masuk.
Pemeriksaan lanjut mendapati barang-barang seperti pam air, dua unit katil kayu, katil besi, kipas dinding dan kipas siling telah hilang dicuri.
Berdasarkan hasil siasatan, tertuduh telah dilihat berada dalam kawasan klinik tersebut tanpa kebenaran dengan niat untuk melakukan jenayah.
Sehubungan itu, dia ditangkap oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Kuching pada 10 Disember lalu.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, ASP Hisyam Junaidi.
utusanborneo.com.my/2021/12/16
|