
Keadaan lokasi kejadian melibatkan dua kenderaan di Jalan Sematan-Telok Melano, semalam.
SEMATAN: Seorang anggota tentera terbunuh akibat kecederaan parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, di Kilometer 17 Jalan Sematan-Telok Melano, semalam.
Ketua Jabatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa Krissen Areantyo, 23, berasal dari Rumah Panjang Nek Bujur, Kampung Pueh Sematan, disahkan maut di lokasi kejadian.
Menurutnya, maklumat awal mendapati kereta yang dipandu seorang wanita bersama-sama empat penumpang bergerak dari Sematan ke Telok Serabang.
"Setibanya di Kilometer 17 Jalan Kampung Pueh, pemandu berusia 34 tahun itu melihat penunggang motosikal (mangsa) di hadapannya tiba-tiba membuat pusingan balik (u-turn) dari arah yang sama sebelum berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan terbabit," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jelasnya, akibat kejadian itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa bagaimanapun dihantar ke Hospital Lundu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemandu dan penumpang kenderaan terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujarnya, siasatan awal kes dibuka di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2021/12/25 |