|
Pelbagai jenis sampah yang musnah akibat banjir dikumpul di kawasan perumahan Taman Seri Inderapura. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
KUANTAN: Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama membabitkan perabot dan pakaian yang rosak akibat banjir.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid, berkata tindakan itu dikhuatiri boleh menyebabkan kebakaran tidak terkawal dan pencemaran udara hingga membahayakan penduduk kawasan terbabit.
Katanya, perabot dan pakaian serta peralatan lain yang rosak akibat banjir perlu dikumpul di kawasan rumah masing-masing bagi memudahkan syarikat konsesi, Alam Flora menjalankan aktiviti memungut.
Beliau berkata, kawasan perumahan yang ditenggelami banjir di beberapa daerah di negeri ini kini dipenuhi pelbagai jenis sampah, usaha memindahkan sedang giat dilakukan pihak yang dilantik.
"SWCorp berharap orang ramai yang berada di kawasan terjejas akibat banjir tidak membakar longgokan sampah barangan yang rosak.
"Saya sudah mengarahkan syarikat konsesi supaya menambah lori dan jentera dalam usaha mempercepatkan proses memungut barangan rosak. Perabot adalah barangan yang paling banyak musnah diikuti pakaian dan pelbagai jenis barangan lain," katanya, di sini, hari ini.
Sharudin berkata, di daerah ini terdapat beberapa kawasan yang tenggelami banjir antaranya Taman Seri Inderapura, Kampung Telok Mahang, Taman Guru, Kampung Cendering dan Bukit Rangin.
"Saya masih tidak dapat menjangka berapa banyak sampah terhasil akibat banjir namum jumlahnya begitu banyak.
"Kita kini sedang mengumpul data semua daerah yang terbabit dengan kejadian banjir," katanya.
Sementara itu, tinjauan di Taman Seri Inderapura, di sini semalam mendapati, ada penduduk di kawasan terbabit bertindak membakar longgokan sampah yang dikumpulkan hingga memaksa kakitangan Alam Flora memadamnya.
Di kawasan berkenaan terdapat sekurang-kurangnya lima longgokan sampah yang dikumpul sedia untuk dialihkan oleh syarikat konsesi. Kerja memungut sampah kini dilakukan secara berterusan.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|