|
MUSTAFFA menunjukkan gambar arwah anaknya, Saiful Anuar yang ditemui lemas. FOTO Rosli Ilham
Chukai: Hasrat seorang bapa membuat kejutan sempena hari lahir anak tunggalnya tidak kesampaian selepas dia lemas ketika keluar menangkap ikan berhampiran Ladang Rakyat, Mak Lagam, pagi tadi.
Saiful Anuar Mustaffa, 39, dijadualkan menyambut hari lahir anak tunggalnya, Nur Syazliana Idayu, 15, bersama ahli keluarga lain, petang ini.
Bapa Saiful, Mustaffa Muda, 61, berkata, dia sangat sedih dan tidak menyangka majlis hari lahir itu bertukar menjadi duka buat mereka sekeluarga.
"Arwah (Saiful) dan isterinya, Tuan Idawati Tuan Din, 37, sering membuat majlis hari lahir anaknya di kampung.
"Namun pada hari ini arwah hendak buat kejutan untuk membuat majlis sambutan itu dengan turut menjemput ahli keluarga lain," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Kemaman.
Mustaffa berkata, anaknya itu tinggal di Kampung Gong Pasir Dungun kerana bertugas sebagai pengurus di sebuah stesen minyak di Dungun.
"Dia pulang semalam ke rumah mentuanya di Felda Neram 2, yang juga terletak berhampiran dengan rumah saya sempena majlis hari lahir anaknya itu.
"Arwah dan isterinya sudah membuat persiapan termasuk membeli kek dan menempah pulut kuning namun semuanya kini tinggal kenangan," katanya.
Sementara itu, Hafizuddin Rawi, 27, berkata, dia diajak rakannya, Tuan Zamri Tuan Din, 24, yang merupakan adik ipar arwah untuk pergi mengangkat pukat di situ.
"Pukat itu ditahan Tuan Zamri sejak semalam, dan pagi ini kira-kira jam 8.40 pagi, kami bertiga termasuk arwah pergi mengangkat pukat dengan menggunakan pelampung setiap seorang.
"Jarak daratan dengan pukat yang ditahan itu sekitar 40 meter, dan ketika kami asyik mencabut ikan di pukat, mangsa mengadu badannya mengalami kesejukan dan meminta izin untuk ke darat," katanya.
Katanya, dia dan Tuan Zamri mengizinkan mangsa bergerak pulang dan sentiasa memantau sepanjang pergerakan mangsa ke darat.
"Tiba-tiba Tuan Zamri berasa pelik selepas melihat pelampung mangsa tidak bergerak sebelum bergegas ke situ.
"Sebaik tiba di situ, Tuan Zamri menjerit meminta bantuan saya. Saya bergegas ke situ dan ketika itu kami dapati kepala mangsa sudah tenggelam ke dalam air sementara tangan kanannya masih berpaut pada pelampungnya," katanya.
Katanya, mereka berdua kemudiannya mengangkat mangsa ke darat sebelum Tuan Zamri menghubungi bapanya.
"Bapa Tuan Zamri yang tiba di tempat kejadian kemudiannya membawa mangsa dengan kenderaan pacuan empat roda miliknya ke klinik kesihatan berhampiran sebelum disahkan meninggal," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|