|
ROMI Daud menunjukkan kesan tayar kenderaan yang dipercayai digunakan individu yang mencuri lembunya.FOTO ROSLI ILHAM
Dungun: Dua penternak lembu di Kampung Tanjung Hutan Paka, dekat sini, mendakwa tujuh lembu mereka dicuri membabitkan kerugian kira-kira RM30,000, semalam.
Romi Daud, 48, berkata,dia menyedari lima daripada lapan ekor lembu miliknya hilang ketika hendak memberi makan ternakannya itu, kira-kira jam 7 pagi.
Menurutnya, kejadian kecurian lembunya yang ditambat di belakang kediamannya itu dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi.
"Waktu itu saya terdengar bunyi bising lembu di belakang rumah dan membiarkannya kerana menyangka ibu lembu hendak menyusu anaknya.
"Pagi keesokan ketika hendak memberi mereka makan, saya dapati lima daripada lapan lembu hilang," katanya.
Katanya, pencarian di sekitar kampung gagal malah mendakwa terdapat kesan tayar lori ditemukan di belakang kediamannya.
Sementara itu, Mohd Nasrul Naim Mohd Nasir, 41, berkata, dua lembu miliknya hilang pada pagi kejadian yang sama membabitkan kerugian sebanyak RM5,000.
"Lembu itu ditambat di depan rumah dan langsung tidak menyedari ia dicuri dan saya percaya perkara itu dilakukan orang yang sama.
"Ingatkan hanya saya yang kena rupanya lembu milik Romi juga turut hilang sebelum kami ke Balai Polis Dungun untuk membuat laporan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.
Menurutnya, pihaknya sedang giat mengesan suspek dan kes berkenaan akan disiasat mengikut seksyen 379 kanun keseksaan kerana mencuri.
"Kita meminta kerjasama orang ramai menghubungi pihak polis sekiranya mereka ditawarkan lembu dengan harga yang murah," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|