
BURUNG: Spesis burung Sekendi Sudu Muka Hitam yang dirakam di Tempasuk Sangkir Kota Belud baru-baru ini. Gambar ihsan Noor Hirzan
KOTA BELUD: Sejak 6 Januari lepas, peminat pemerhati dan fotografi burung, berkumpul di Tempasuk Sangkir di sini bagi melihat dan merakam gambar burung yang hampir pupus iaitu burung Sekendi Sudu Muka Hitam atau nama spesifiknya Platalea minor juga dikenali sebagai 'The Black-Faced Spoonbill'.
VAGRANT
Ahli Zoologi Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Abdul Hamid Ahmad berkata, burung berkenaan antara spesis yang hanya sekali-sekala berhijrah sehingga sampai di negara ini.
Beliau ketika dihubungi berkata, ia dikategorikan sebagai spesis burung yang mengalami ancaman kemerosotan populasi kerana kerosakan yang berlaku di habitatnya.
"Burung ini hidup dan membiak di wilayah Asia Timur iaitu di sekitar Korea, China dan Rusia. Kumpulan burung ini akan berpindah ke Jepun, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, dan Filipina pada musim sejuk bermula Disember hingga Mac setiap tahun.
"Menurut rekod, hanya sesekali sahaja burung berkenaan singgah di negara ini dan disebabkan itu ia dianggap sebagai 'Vagrant' iaitu spesies burung hijrah yang berpindah lebih jauh daripada kawasan yang ia biasa dilihat," jelasnya.
PERUBAHAN LOKASI
Abdul Hamid (gambar) berkata, burung berkenaan bergerak dalam satu kumpulan atau 'flock', bagaimanapun bilangan sebenarnya tidak dapat dipastikan.
"Sejak kebelakangan ini, banyak burung Vagrant dapat dilihat di sekitar Asia Tenggara, termasuklah burung ini dan saintis masih tiada maklumat khusus mengapa mereka singgah ke sini.
"Kebiasaannya burung ini akan menghadapi masalah sekiranya kawasan tempat penghijrahan dan makanan mereka tercemar atau diubah guna tanahnya.
"Misalnya, apabila semakin kurang kawasan tanah lembab, paya dan sawah padi, burung hijrah seperti Sekendi Sudu Muka Hitam akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan dan tempat berlindung di tempat persinggahan mereka setiap tahun," katanya.
Beliau berkata, burung-burung berkenaan adalah milik bersama dan ia juga anugerah Allah kepada umat manusia di seluruh dunia.
Sehubungan itu katanya, semua negara perlu memainkan peranan untuk mengekalkan khazanah itu kerana ia bukan milik negara tertentu sahaja.
DATANG SEMULA
Abdul Hamid turut tidak menafikan kehadiran burung berkenaan di sini mungkin juga fenomena biasa yang terjadi pada satu-satu masa dalam tempoh jangka masa yang panjang.
"Burung-burung ini akan mula terbang ke lokasi asal mereka di utara bermula Mac depan dan berkemungkinan akan datang semula ke sini pada musim sejuk tahun depan.
"Kepada yang baharu berjinak-jinak untuk menyaksikan burung ini, waktu yang sesuai adalah semasa air surut di kawasan bakau, sawah padi dan pantai lumpur timbul serta di kawasan persisiran pantai dan kuala sungai," katanya.
RAKAM: Noor Hirzan (kiri) bersama rakan-rakannya semasa merakam gambar burung berkenaan di Kota Belud.
TERUJA
Sementara itu, Pemandu Pelancong Berlesen Noor Hirzan Abdillah Mohd Momin ketika dihubungi turut teruja kerana dapat menyaksikan burung berkenaan di sini.
"Saya sangat teruja memandangkan mengikut maklumat yang diperoleh, burung ini pernah direkodkan sekitar 1967 hingga 1968, selepas itu belum ada rekod sehinggalah awal tahun ini.
"Sebaik mendapat maklumat daripada rakan saya yang juga seorang pemerhati burung tegar yang memuat naik gambar burung berkenaan di laman sosialnya dan juga di aplikasi Facebook Sabah Bird Alert.
"Saya dan beberapa rakan bergegas ke Tempasuk Sangkir Kota Belud untuk menyaksikan sendiri burung berkenaan dan merakamkan gambarnya," jelasnya.
CABARAN
Noor Hirzan berkata, antara cabaran semasa menyaksikan burung berkenaan adalah perlu mendapatkan rakan yang mempunyai minat yang sama dan sefahaman.
"Sebagai pemerhati burung, kita perlu banyak bersabar kerana kadang kala, disebabkan burung ini cuma seekor serta sering berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain kita akan mengikut jejak burung berkenaan.
"Selain itu, antara cabaran lain adalah jarak kita dengan burung itu, sekiranya ia berada terlalu jauh, kita memerlukan lensa yang lebih panjang untuk mendapatkan hasil gambar yang baik,” katanya.
SPESIS LAIN
Beliau berkata, rakan-rakannya turut memaklumkan selain burung Sekendi Sudu Muka Hitam, peminat pemerhati dan fotografi burung juga boleh melihat spesis-spesis burung hijrah yang lain, yang jarang ditemukan di sini.
Menurutnya, antara spesis lain termasuklah Kedidi Kaki-Panjang Australasia atau Pied Stilt (Himantopus leucocephalus), Kedidi-Kerdil Ekor Panjang atau Temminck's Stint (Calidris temminckii), Kedidi-Kerdil Leher Merah atau Red-necked Stint (Calidris ruficollis); Burung Teratai Ekor Panjang atau Pheasant-tailed Jacana (Hydrophasianus chirurgus), layang-layang Api Utara atau Red-rumped Swallow (Cecropis daurica); Bangau Cina atau Chinese Egret (Egretta eulophotes) dan Cecawi Sawah atau Black Drongo (Dicrurus macrocercus); Panglin-Hitam Biasa atau Eurasian Coot (Fulica atra) serta burung Common Coot dan Pale Martin.
Beliau turut menasihati mereka yang ingin melihat burung-burung berkenaan untuk membawa teropong (binocular) dan memakai topi, baju lengan panjang dan kasut yang bersesuaian.
Bagi yang ingin merakam gambar, dinasihatkan untuk membawa kamera DSLR atau mirrorless dengan lensa berukuran 400 mm ke atas.
utusanborneo.com.my/2022/01/23 |