
Anggota peronda polis tiba di lokasi setelah menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah di Kampung Plaman Bantang, Serian semalam.
KUCHING: Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Kampung Plaman Bantang di Serian ditahan, semalam.
Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar jam 11.46 malam semasa anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Serian sedang bertugas.
Menurutnya, sebaik menerima laporan, anggota peronda terus bergerak menuju ke lokasi.
"Setiba di lokasi telah menahan seorang lelaki yang diserahkan oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Aswandy, siasatan lanjut ke atas satu beg sandang kepunyaan suspek menjumpai satu beg kecil berwarna biru mengandungi tiga paket plastik lut sinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
"Berat ketulan-ketulan berkenaan dianggarkan 2.05 gram.
"Suspek bagaimanapun ditahan dan dibawa ke Balai Polis Serian untuk tindakan lanjut," tegasnya.
Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
utusanborneo.com.my/2022/01/24 |