|
Geneva: Seorang lelaki di Switzerland sanggup menukar jantinanya kerana mahu bersara dan menerima pencen, setahun lebih awal.
Ia susulan pada 1 Januari lalu, Switzerland menguatkuasakan undang-undang baharu membenarkan rakyatnya yang membuat 'pengakuan' bukannya tergolong jantina seperti dinyatakan pada status dokumen pendaftaran sivil, untuk menukar jantina mereka.
Undang-undang itu membolehkan mereka menukar jantina dan nama pertama mereka dengan hanya 75 Swiss Franc (RM340.75).
Akhbar tempatan melaporkan Luzerner Zeitung, hanya dalam tempoh empat hari, ada individu yang mengambil kesempatan dengan penguatkuasaan undang-undang berkenaan.
Di Switzerland, secara sahnya, wanita boleh bersara pada usia 64 tahun, setahun lebih awal daripada lelaki.
Ia menarik perhatian seorang lelaki yang mahukan pencen lebih awal, sebelum dia memutuskan menukar jantinanya.
Lelaki yang tidak disebutkan namanya itu mengakui, tindakannya itu bermotifkan faktor kewangan sahaja dan bukan atas faktor dia sebenarnya mengenal pasti dirinya sebagai seorang wanita.
Pada November tahun lalu, Michel Montini dari Pejabat Kehakiman Persekutuan memberi amaran, lelaki boleh mengisytiharkan diri mereka sebagai wanita sebelum bersara dan meninggalkan pekerjaan mereka setahun lebih awal.
Selepas berita kejayaan lelaki itu tular di media sosial, orang ramai mula mengenal pasti kelemahan undang-undang lain.
Ini termasuk kemungkinan lelaki muda mengelak menyertai perkhidmatan ketenteraan wajib dengan menukar jantina mereka secara sah.
Pada asasnya, mereka boleh menukar jantina mereka sebagai perempuan pada usia 17 tahun, sebelum kembali menjadi lelaki.
Luzerner Zeitung sudah meminta ulasan kes itu terhadap pegawai sivil.
Tetapi, undang-undang itu akan berkuat kuasa sehingga hakim memutuskan sama ada tindakan menukar jantina untuk pencen awal adalah menyalahi peraturan.
Oleh itu, tanpa keputusan mahkamah, mana-mana penduduk Switzerland bebas menukar jantina mereka mengikut cara seperti ditunjukkan oleh lelaki berkenaan.
|
|