
Abang Johari merakam kenangan bersama-sama kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin, turut kelihatan Dr Sim dan Douglah Uggah. -Foto PENERANGAN
KUCHING: Sarawak berjaya memberi vaksin COVID-19 kepada 19,430 kanak-kanak iaitu 6.8 peratus daripada 286,000 (10.1 peratus) jumlah kanak-kanak di seluruh Sarawak, setakat ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan itu merupakan rekod yang dicapai sejak pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) yang bermula pada 3 Februari lalu.
Menurutnya, ini menunjukkan maklum balas yang menggalakkan dalam kalangan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka divaksin yang mana seramai 60.3 peratus responden bersetuju anak mereka menerima vaksin.
"Suntikan ini penting kerana ia salah satu cara menurunkan jangkitan COVID-19 dengan menaikkan antibodi dalam kalangan anak-anak kita menerusi vaksin.
"Sehubungan itu, kerajaan Sarawak dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 50 peratus kanak-kanak yang layak menerima vaksin COVID-19 bagi dos pertama pada akhir Februari ini.
"Ini kerana, kita tidak mahu mereka dijangkiti COVID-19 ataupun menjadi sumber penularan jangkitan itu terutama sekali sekarang ini ada varian baharu iaitu Omicron yang begitu mudah merebak," katanya semasa sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Kota Sentosa, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar), Datu Ik Pahon Joyik, Penghulu Kota Sentosa, Lai Boon Kee dan Pakar Perubatan Keluarga, Dr Jennett Michael.
Dalam lawatan Ketua Menteri hari ini, seramai 308 kanak-kanak daripada dua sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Stampin dan SJKC Chung Hua Pangkalan Baru akan menerima suntikan vaksin COVID-19 di klinik berkenaan.
Menurut Abang Johari, sekiranya program dan usaha ini berjaya, ia membolehkan pembelajaran secara bersemuka dijalankan selain anak-anak dapat datang ke sekolah dalam keadaan yang selamat.
"Ini sekali gus menjadikan sistem persekolahan dapat dilaksanakan secara normal dan akan beri manfaat kepada anak-anak kita dalam aspek persekolahan mereka tidak terganggu.
"Bagaimanapun, saya rasa ada juga ibu bapa yang masih lagi ragu-ragu mengenai kesan vaksin terhadap anak-anak mereka dan kalau kita lihat setakat ini ada kejayaan berhubung program ini di Sarawak," kata Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru.
Ujarnya, bagi yang masih lagi ragu-ragu, beliau berharap agar ibu bapa menyahut untuk membenarkan anak-anak untuk disuntik vaksin.
"Sekiranya anak-anak tidak divaksin, mereka tidak akan datang ke sekolah dan ini sekali gus akan menjejas persekolahan mereka.
"Pihak KKM sudah tentu banyak membuat kajian dalam situasi ini supaya anak-anak selamat untuk menerima vaksin," jelas beliau.
Ditanya mengenai vaksinasi kanak-kanak di kawasan pedalaman, beliau menjelaskan kaedah pemberian itu sama seperti sebelum ini (dewasa).
"Kaedah ini lebih kurang sama seperti sebelum ini namun bagi vaksinasi kanak-kanak ini ia lebih mudah kerana dilakukan di kawasan sekolah," jelas beliau.
utusanborneo.com.my/2022/02/12 |